MIMI juga dilantik sebagai duta Q Life.
Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

Meskipun kemunculannya dalam lakonan boleh dianggap masih mentah umpama setahun jagung namun bakat baru Mimi Lana semakin mendapat perhatian.

Baru berusia 19 tahun, Mimi atau nama sebenarnya Mimi Roziana Zainal Abidin yang memulakan langkah sebagai pelakon tambahan kira-kira dua tahun lalu kini mendapat peluang untuk membawakan watak lebih besar.

Diam tak diam sudah tujuh drama dibintangi Mimi dan salah satunya ialah Papa Chef arahan Amor Rizan yang menggandingkan dia bersama Faizal Hussein sebagai watak utama.

Sekali lagi mendapat kepercayaan daripada pengarah berbakat itu, Mimi mendapat tawaran membintangi drama Cinta Okinawa sebanyak 26 episod. Bahkan, kali ini Mimi akan terbang ke Jepun untuk penggambaran.

Mimi ketika ditemui kelmarin berkata, dia bersyukur kerana walaupun masih baru, satu demi satu peluang mula diraih. Bahkan, tawaran membintangi drama Cinta Okinawa itu dimilikipun di atas permintaan pengarah sendiri.

"Saya sangat teruja bekerja dengan Amor Rizan. Apatah lagi, saya perlu menjalani penggambaran selama dua minggu di Jepun," katanya yang turut dilantik sebagai duta produk kecantikan Q Life selama dua tahun.

Dalam Cinta Okinawa, Mimi yang memiliki ketinggian tuduh 1.76 meter ini akan membawa watak pembantu iaitu Ariana, seorang gadis yang dilahir serta dibesarkan keluarganya di Jepun.

Selain itu, Ariana juga mahir dalam seni mempertahankan diri karate.

"Sebelum ke Jepun, saya akan mengikuti kelas karate. Memang teruja dan saya akan berlatih bersungguh-sungguh.

"Saya juga tidak fikir berlatih karate adalah sukar kerana sebelum ini saya pernah belajar seni silat gayung," kata Mimi yang jelas tampak matang berbanding usianya.

Mengulas mengenai pertimbangan tawaran berlakon, Mimi yang juga anak kedua daripada tiga beradik berkata, dia akan menilai watak diterima dan jika sesuai dan dia mampu melakonkannya, pasti diterima.

Katanya, sebagai pelakon baru dia tiada niat untuk bersikap memilih, tetapi sekadar mengikut kemampuan diri.

"Saya lebih selesa menerima watak yang dirasakan sesuai serta mampu dilakonkan. Saya tidak mahu bersikap tamak hanya disebabkan terlalu mengejar untuk membina nama.

"Biarlah ia berlaku mengikut ketentuan masa dan sekarang ini pun saya seronok menimba pengalaman sebagai pelakon," katanya yang akan bergandingan dengan Sharnaaz Ahmad dan Hanis Zalikha dalam drama Cinta Okinawa.

Menyentuh mengenai tawaran filem, Mimi berkata, dia sebenarnya baru menolak satu tawaran kerana tidak mampu membawa watak itu yang agak berat.

Mengulas mengenai dirinya yang dilantik sebagai duta produk Q-ute Secret Miracle Skincare diasaskan Q Life, Mimi berkata ia satu peluang tak pernah di duga. Apatah lagi, mengenangkan dirinya yang masih baru dalam industri seni tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 November 2014 @ 5:02 AM