MOHD Ibrahimnuddin (tengah) ketika melancarkan kempen ‘Pump N Win’ di Kuala Lumpur, semalam.
Oleh Erywan Norshal
erywan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: PETRONAS Dagangan Bhd (PDB) memperuntukkan kira-kira RM400 juta untuk perbelanjaan modal (capex) bertujuan membiayai pengembangan operasi sepanjang tahun ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yunus berkata, sebahagian besar daripada perbelanjaan modal itu akan digunakan untuk menambah antara 15 dan 20 stesen petrol, tetapi lokasinya akan bergantung kepada permintaan pasaran selain menaik taraf stesen sedia ada.

“Kami juga akan mengekalkan strategi yang digunakan pada 2015 berikutan pasaran pada tahun ini dilihat tidak berubah dan masih mencabar.

“Strategi yang digunakan dengan langkah pengurangan kos perbelanjaan yang optimum dan memastikan keberkesanan pembekalan serta pengedaran,” katanya selepas majlis pelancaran kempen ‘Pump N Win’ di sini, semalam.

PDB adalah peruncit terkemuka dan pemasar minyak hiliran serta produk gas. Perniagaan runcit syarikat itu sudah berkembang menjadi rangkaian runcit petroleum terbesar di Malaysia dengan lebih 1,000 stesen dan 725 Kedai Mesra.

Kempen runcit untuk Kad Mesra adalah antara inisiatif yang sedang diperkenalkan oleh syarikat berkenaan untuk memberi nilai tambah kepada pelanggan melalui rangkaian perniagaannya yang luas.

Kempen yang bermula semalam sehingga 29 Februari ini memberi peluang kepada pelanggan Petronas memenangi hadiah berjumlah lebih RM1 juta membabitkan Mercedes-Benz CLA200, lapan Proton Iriz binaan khas, 16 motosikal Piaggio Vespa dan 16 basikal jenama Java. Bagi menyertai kempen itu, pelanggan perlu berbelanja lebih RM40 dan meleretkan Kad Mesra mereka.

Sementara itu, Mohd Ibrahimnuddin berkata, PDB akan memperluaskan bahan api diesel piawaian Euro 5 di kawasan Lembah Klang, tetapi bergantung kepada permintaan pasaran terlebih dahulu.

Menurutnya, buat masa ini hanya dua stesen menawarkan diesel Euro 5 menerusi Petronas di Pasir Gudang dan Gelang Patah, Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2016 @ 5:22 AM