KERENAH anak memang uji kesabaran, tapi ada beberapa kaedah boleh bantu kurangkan tekanan ibu bapa.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Kanak-kanak meraung, menjerit, berguling dan menghempas barang jika kehendak mereka tidak dipenuhi. Tingkah laku ini kadangkala terlihat di tempat awam dan pasti mengundang reaksi negatif orang sekeliling.

Bagi ibu bapa yang menghadapinya, tentu membuatkan mereka hilang sabar dan malu sekali gus mengundang kemarahan. Tingkah laku disebut tantrum ini perkara yang biasa dalam kalangan kanak-kanak berusia antara 18 hingga 48 bulan.

Menurut portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan, tantrum sesuatu yang normal, tetapi mencabar kesabaran ibu bapa. Tantrum boleh berlaku dalam bentuk kemarahan, kekecewaan dan tingkah laku yang mencabar.

Anak anda boleh menjerit, menangis, menendang, memecahkan barang-barang, berkelakuan ganas dan kadangkala, menahan nafas mereka.

Pada umur lebih kurang dua tahun, kanak-kanak menguji had kesabaran ibu bapa dan mereka tidak boleh melihat sesuatu perkara daripada pandangan orang lain. Mereka ingin bebas untuk meneroka persekitaran mereka. Pada masa sama, ibu bapa atau guru meletakkan had tertentu kerana keselamatan atau sebab lain.

Jika ini berlaku, mereka berasa kecewa kerana mereka mahu lakukan apa yang mereka mahu. Apabila mereka kecewa, mereka menunjukkan kekecewaan dan kemarahan mereka dengan menangis, memukul dan menjerit.

Mereka belum mempunyai kemahiran untuk meluahkan kemarahan dan kekecewaan dalam cara lain. Oleh itu, tantrum adalah peluang yang baik untuk kanak-kanak belajar kaedah mengendalikan kekecewaan dan kemarahan.

Selalunya, kanak-kanak hanya akan hentikan perangai ini apabila mereka dapat apa yang mereka mahu. Tingkah laku dan reaksi ibu bapa juga menyumbang kepada berapa kerap tantrum akan berlaku.

Kanak-kanak akan lebih cenderung melakukan tantrum jika ibu bapa memberikan apa sahaja yang mereka mahukan atau jika ibu bapa memberi perhatian yang lebih kepada tingkah laku yang negatif.

Lihat tantrum secara positif. Tantrum adalah peluang baik bagi kanak-kanak mempelajari bagaimana menguruskan kekecewaan dan kemarahan dan juga peluang yang baik bagi ibu bapa untuk mengajar anak mengenai kemahiran yang diperlukan untuk mengatasi kekecewaan dan kemarahan.

Bagaimana mengendalikan kanak-kanak dengan tantrum?

Ketika anak anda sedang melakukannya, pastikan perkara berikut:

- Pastikan anak anda selamat.

- Pastikan anda sentiasa tenang, dan jangan beri perhatian kepada ting–kah laku terbabit.

- Jangan hukum anak anda.

- Jangan berikan ganjaran.

- Jika boleh, asingkan anak anda.

- Jangan biarkan reaksi orang lain mempengaruhi bagaimana anda memberi tindak balas kepada tantrum itu.

Menghukum kanak-kanak kerana tantrum, dengan menjerit atau memukul menyebabkan tantrum menjadi lebih teruk dalam jangka masa pendek dan menyebabkan tingkah laku tantrum kekal dalam jangka masa panjang.

Jika ibu bapa berikan apa yang anak mahukan sebagai satu cara untuk menghentikan tantrum, tantrum akan menjadi lebih teruk. Jika ibu bapa melakukan perkara ini, ibu bapa sebenarnya mengajar anak untuk menggunakan tantrum bagi memanipulasi keadaan dan menyebabkan tingkah laku ini berterusan hingga dewasa.

Abaikan tantrum. Ini cara terbaik untuk mengendalikan tantrum. Ibu bapa patut mengajar anak bagaimana mengendalikan kemarahan dan kekecewaan. Cari punca apa yang me–nyebabkan tantrum. Dengan mengetahui puncanya, ibu bapa boleh bertindak sebelum anak gagal mengawal emosi mereka.

Ibu bapa boleh menggunakan ‘time-out’ jika anak berumur dua tahun atau lebih. ‘Time-out’ adalah cara terbaik jika mereka yang faham mengapa ia digunakan. ‘Time-out’ akan menjauhkan kanak-kanak daripada situasi yang sukar dan memberi masa untuk dia bertenang. Ia juga mengajar kanak-kanak bahawa tantrum adalah satu tingkah laku yang tidak boleh diterima.

Apa yang perlu ibu bapa dilakukan jika ia berlaku di rumah?

Apabila kanak-kanak melakukannya di rumah, ibu bapa perlu tenang. Bawa anak anda ke tempat yang selamat untuk dibiarkan bersendirian. Tinggalkan bilik, tutup pintu dan datang semula hanya jika anak itu kembali tenang.

Jika anda bimbang untuk tinggalkan anak anda berseorangan, anda boleh duduk berhampiran dengan­nya, tetapi jangan berikan sebarang tindak balas terhadapnya. Jangan pandang anak anda. Apabila dia kembali tenang, bercakap dan berbincang dengan anak anda mengenai kelakuan–nya.

Apa yang perlu ibu bapa lakukan apabila tantrum berlaku di tempat awam?

Bawa anak anda keluar dari kawasan awam sekiranya boleh. Bawa dia ke tempat yang ada privasi. Tempat terbaik adalah di dalam kereta, di tempat duduk bayi. Anda boleh berdiri berhampiran kereta atau duduk di dalam kereta tanpa memberi sebarang tindak balas kepada kelakuan itu.

Apabila tantrum reda, cakap dengan anak anda mengenai kelakuan­nya. Jika tantrum berlaku di tempat yang anda tidak boleh bawa anak ke tempat yang lain seperti di dalam kapal terbang, pastikan anda tenang dan abaikan kelakuan anak anda. Sebaik saja anak anda tenang, bercakap dengannya mengenai kelakuannya.

Kanak-kanak akan belajar cara yang lebih sihat untuk mengendalikan emosi. Bagaimanapun, jika tantrum berterusan, dia mungkin perlu bantuan untuk mengatasi kemarahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2016 @ 5:00 AM