Asap keluar dari bangunan Kedutaan Arab Saudi di Teheran selepas perusuh menyerbu masuk dan memulakan kebakaran Ahad lalu. Kejadian itu mencetuskan krisis perhubungan diplomatik yang serius antara Iran dengan Arab Saudi serta beberapa Negara Teluk lain. - Foto EPA

Bandar Raya Kuwait: Kuwait menjadi Negara Teluk terbaru memanggil pulang dutanya dari Iran sebagai bantahan serangan terhadap kedutaan dan konsulat Arab Saudi di negara itu.

Kuwait bagaimanapun, tidak memutuskan atau menurunkan tahap hubungan diplomatik dengan Iran serta tidak mengusir Duta Iran.

AFP melaporkan pengumuman Kuwait itu mengikut langkah Arab Saudi, Sudan dan Bahrain yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran.

Setakat ini, Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga memanggil pulang dutanya dari Iran.

Bahrain, Kuwait, Arab Saudi, UAE, Oman dan Qatar ialah anggota Majlis Keselamatan Negara Teluk.

Sudan memberi masa dua minggu kepada pasukan diplomatik Iran untuk meninggalkan negara itu manakala Mesir menegaskan ia mengecam tindakan menyerang dan menggeledah Kedutaan Arab Saudi di Teheran dan Konsulat Arab Saudi di Mashdad oleh perusuh.

Menteri Luar Mesir, Sameh Shoukry, berkata di Riyadh, tindakan Iran berikutan pelaksanaan hukuman mati terhadap ulama Syiah Sheikh Nimr al-Nimr oleh Arab Saudi itu tidak boleh diterima dan ia campur tangan dalam hal ehwal dalaman Arab Saudi. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2016 @ 6:17 PM