Pengikut Syiah menunjuk perasaan di depaN Kedutaan Arab Saudi di New Delhi, hari ini, membantah pelaksanaan hukuman mati terhadap Nimr al-Nimr oleh Arab Saudi. - Foto RUETERS

New York: Arab Saudi bersedia memulihkan hubungan dengan Iran dengan syarat negara berkenan berhenti campur tangan dalam hal ehwal negara lain dan mengakui usaha Riyadh yang bekerja keras untuk keamanan di Syria dan Yaman.

Ahad lalu, Arab Saudi memutuskan semua hubungan diplomatik, ekonomi dan melarang rakyatnya ke Iran selepas kedutaannya di Teheran serta konsulatnya di Mashhad, di serbu dan digeledah perusuh yang membantah pelaksanaan hukuman mati terhadap ulama terkenal Syiah Nimr al-Nimr aats tuduhan keganasan Sabtu lalu.

Duta Arab Saudi ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Abdallah Al-Mouallimi yang ditanya apakah yang boleh membuatkan hubungan itu pulih berkata: “Amat mudah. Iran perlu berundur daripada campur tangan dalam hal ehwal negara lain, termasuk negara kami.

“Jika Iran berbuat demikian, kami akan meneruskan hubungan dengan Iran. Kami (Arab Saudi) bukannya musuh semula jadi Iran.”

Semalam, Bahrain dan Sudan juga mengikut langkah Arab Saudi, memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran.

Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir, berkata negaranya juga akan memberhentikan laluan udara serta hubungan perniagaan antara kedua-dua negara.

Pelaksanaan hukuman mati terhadap Nimr al-Nimr dan 46 pengikutnya mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran pengikut Syiah banyak negara termasuk di Iran, Iraq dan India. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2016 @ 3:47 PM