PENUNJUK perasaan Iran membantah hukuman terhadap Sheikh Nimr al-Nimr di Dataran Imam Hussein, Tehran pada 4 Januari lalu. FOTO Reuters
Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


Putrajaya: Malaysia amat bimbang dengan perkembangan di rantau Timur Tengah dan mengutuk tindakan perusuh yang menyerang Kedutaan Besar dan Konsulat Arab Saudi di Teheran serta Mashhad.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata, sehubungan itu, Malaysia menggesa Iran mengambil segala langkah yang sesuai untuk melindungi premis perwakilan asing.

"Ia selaras dengan Konvensyen Vienna 1961 mengenai hubungan diplomatik serta tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap mereka yang melakukan serangan itu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Penduduk Iran bertindak menyerang Kedutaan Arab Saudi di Tehran dan konsulat Arab Saudi di Mashhad ketika mengadakan demonstrasi besar-besaran membantah pelaksanaan hukuman pancung ke atas ulama terkenal Syiah, Sheikh Nimr al-Nimr.

Berikutan itu, Arab Saudi bertindak memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran, semalam.

Ia diumumkan Menteri Luar Arab Saudi Adel al-Jubeir pada satu sidang akhbar dan mengarahkan semua diplomat Iran meninggalkan negara itu dalam tempoh 48 jam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2016 @ 2:35 PM