FOTO arkib NSTP Mohd Azren Jamaludin‚Ä®
Oleh Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


Cyberjaya: Semua plaza tol di 21 lebuh raya di Lembah Klang akan melaksanakan sistem pembayaran tol elektronik menjelang akhir tahun ini.

Yang Dipertua Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia Datuk Ir Zainudin A Kadir berkata, langkah berkenaan adalah bagi menggalakkan penggunaan sistem tol elektronik mudah dan selesa serta membantu pengguna lebuh raya menikmati perjalanan lebih lancar di setiap plaza tol.

Pada masa sama, beliau berkata, PSKLM mengumumkan pelaksanaan sistem pembayaran tol elektronik di Lebuhraya MEX, Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga) bermula 12 tengah hari pada 13 Januari ini.

"Hebahan bagi pelaksanaan sistem tol elektronik dilakukan menerusi pelan komunikasi terancang oleh MEX, NPE, LKSA dan Gran Saga menerusi media cetak, laman web, pengedaran risalah dan papan tanda elektronik.

"Promosi ini bagi menggalakkan lebuh raya untuk membuat persiapan awal menjelang pelaksanaan sepenuhnya pada 13 Januari ini," katanya pada sidang media di sini.

Beliau berkata, syarikat konsesi yang terbabit turut menawarkan beberapa insentif kepada pengguna antaranya pengedaran kad Touch 'n Go, penawaran unit Smart Tag dan pemberian rebat.

Ditanya mengenai jurutol sedia ada, Zainudin berkata, tiada pemberhentian khidmat mereka, sebaliknya pekerja terbabit diberikan tugasan lain selepas pelaksanaan sistem bayaran elektronik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2016 @ 12:13 PM