LELAKI China maut selepas bergaduh dengan ahli keluarga isterinya. FOTO ihsan pembaca
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


Shah Alam: Lelaki warga China maut selepas bergaduh dengan beberapa ahli keluarga isterinya kerana perebutan anak perempuan berusia empat bulan di rumah di Setia Alam, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, mangsa Jin Shijie, 39, dikatakan datang ke rumah keluarga isterinya kerana mahu mengambil anak mereka untuk dibawa pulang ke China.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, kemahuan mangsa bagaimanapun dihalang isterinya yang berusia 37 tahun sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.

"Seorang ahli keluarga isterinya kemudian menghubungi beberapa ahli keluarga lain sebelum mereka tiba tidak lama selepas itu untuk menyelesaikan pertikaian berkenaan.

"Mangsa dikatakan bertindak agresif dengan cuba melempar anaknya ke lantai ketika bergaduh dengan isterinya selain bertumbuk dengan ahli keluarga isterinya sehingga mangsa rebah dan tidak sedarkan diri," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, polis dimaklumkan kejadian tiba di rumah berkenaan dan pihak hospital yang dipanggil mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

Shafien berkata, pemeriksaan forensik mendapati mangsa lebam pada mata kiri, bibir dan bengkak di belakang kepala namun tiada sebarang senjata ditemui di lokasi kejadian.

"Setakat ini, empat suspek ditahan termasuk isterinya untuk siasatan lanjut yang dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2016 @ 10:45 AM