ALICIA Vikander
CATE Blanchett menerima anugerah Pencapaian Desert Palm.
MATT DAMON memuji pengarah The Martian, Ridley Scott.
Susunan Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


Jauh dari kesibukan kota, beberapa nama besar industri perfileman antarabangsa termasuk Johnny Depp, Cate Blanchett, Matt Damon dan Michael Fassbender menghadiri Anugerah Gala Festival Filem Antarabangsa Palm Springs ke-27, di California, Amerika Syarikat (AS), kelmarin.

Acara yang mula dianjurkan sejak 1989 itu adalah sebuah tradisi bagi meraikan karya berpotensi untuk memenangi trofi di Academy Awards atau Oscars.

Lazimnya, ia diadakan sebelum acara anugerah besar mengambil-alih tahun ini.

Bukan saja berseronok dengan kemenangan sendiri, jelas penerima trofi pada acara itu turut mengambil kesempatan berkempen untuk rakan lain yang terbabit dalam filem sama.

Matt Damon yang menerima anugerah Chairman menerusi filem The Martian mendedikasikan hampir seluruh ucapannya kepada pengarah, Ridley Scott. Baginya, pengarah itu layak untuk menang di Oscars.

“Paling penting, dia sudah memberikan lebih daripada cukup terhadap filem berkenaan. Jadi, saya sangat berharap tahun ini rezeki akan menyebelahinya.

“Saya tidak pasti adakah patut ia disuarakan secara lantang. Apa lagi sewaktu berkata demikian untuk pengarah The Departed, Martin Scorsese ternyata andaian itu tersasar,” katanya.

Brie Larson yang memenangi trofi persembahan Breakthrough untuk wataknya dalam Room pula sempat berterima kasih kepada gandingannya, Jacob Tremblay serta pengarah, Lenny Abrahamson.

Penerima trofi Bintang Antarabangsa iaitu pelakon Michael Fassbender untuk filem Steve Jobs pula turut berkongsi kebimbangannya mengenai filem itu.

“Angka tontonan pecah panggung filem itu agak mendukacitakan, namun syukur buat Jurassic World,” katanya merujuk kepada filem yang turut diterbitkan sama oleh Universal.

Yang pasti, masing-masing melahirkan rasa seronok apabila terbabit dalam acara berkenaan. Mana tidaknya, ia bukan seperti acara besar lain yang lebih formal dan terlalu gah.

“Acara ini adalah pertembungan antara glamor dan prestij, namun pada masa sama sangat ‘sempoi’,” kata pelakon Brooklyn, Saoirse Ronan.

Saoirse yang membawa pulang trofi Bintang Antarabangsa dalam ucapannya berkata, dia berjaya membuatkan penonton ketawa.

“Sebenarnya, saya mencari ucapan Sandra Bullock pada 2014 dalam Google untuk mendapatkan inspirasi,” katanya.

Biarpun jadualnya sangat ketat, pelakon The Big Short, Steve Carell pula sanggup terbang dari percutiannya di Massachusetts demi menghadiri acara itu.

“Terus terang, saya langsung tidak sempat berehat dan mengumpul semula tenaga daripada percutian itu.

“Sebaliknya, saya sangat sibuk dan sedikit tertekan, tapi pada masa sama masih berseronok. Yang pasti, segalanya berjalan lancar di sana,” katanya yang menerima trofi Ensemble bersama Christian Bale, Jeremy Strong, dan Finn Wittrock.

SENARAI PEMENANG ANUGERAH GALA FESTIVAL FILEM ANTARABANGSA PALM SPRINGS KE-27

- Bintang Baru Menyerlah: Alicia Vikander (The Danish Girl)

- Sonny Bonor Berwawasan: Tom McCarthy (Spotlight)

- Persembahan Breakthrough: Brie Larson (Room)

- Spotlight, Aktres: Rooney Mara (Carol)

- Spotlight, Aktor: Bryan Cranston (Trumbo)

- Bintang Antarabangsa, Aktor: Michael Fassbender (Steve Jobs)

- Bintang Antarabangsa, Aktres: Saoirse Ronan (Brooklyn)

- Persembahan Ensembel: The Big Short

- Pencapaian Desert Palm, Aktor: Johnny Depp (Black Mass)

- Pencapaian Desert Palm, Aktres: Cate Blanchett (Carol)

- Anugerah Chairman: Matt Damon (The Martian)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2016 @ 8:01 AM