KENANGAN manis bergelar cef cilik.
PELBAGAI aksi si kecil ini apabila diberi peluang mempamerkan bakat memasak.
PESERTA tekun mendengar penerangan chef.
Teks dan gambar Ainal Marhaton Abd Ghani

Mata masing-masing tidak berkedip mendengar ‘leteran’ cef mengenai tabiat makan sayur dalam kalangan kanak-kanak. Masing-masing mendengar dengan penuh khusyuk penerangan diberikan.

Hanya anggukan dan gelengan kepala saja diberikan 60 kanak-kanak berusia antara enam hingga 12 tahun itu ketika sesi pengenalan program Chef Cilik anjuran Hotal Ancasa Royale Pekan, Pahang, baru-baru ini.

Bagaimanapun, situasi itu hanya sementara saja dan suasana bertukar menjadi lebih meriah apabila Sous Cef Eksekutif hotel berkenaan, Syed Jamidin Syed Husin, 43, bijak memainkan peranan yang jelas bertindak umpama ibu yang mengajar anak memasak di rumah.

Penerangan didengar sebaik mungkin dan sesekali kedengaran tawa berderai saat Syed Jamidin berseloroh mengenai ketidaksukaan peserta terhadap sayur-sayuran yang hakikatnya mengandungi zat dan vitamin tinggi.

“Saya bangga kerana mereka sudah menunjukkan bakat memasak pada usia yang masih muda malah ada antara mereka baru berusia enam tahun.

“Aktiviti ini juga menambah pengetahuan mereka dalam meningkat­kan kesedaran mengenai pemakanan sihat, cara menguruskan waktu memasak dan kepelbagaian menu disesuaikan dengan usia mereka yang masih muda,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Syed Jamidin berkata, kebanyakan kanak-kanak melihat sayur sebagai musuh dan mempunyai rasa tidak enak, sedangkan ia sebenarnya sumber makanan terpenting untuk memastikan mereka mendapat zat mencukupi semasa membesar.

“Pendekatan kreatif dalam memasak sayur dan penyajiannya boleh menarik minat kanak-kanak untuk menyukai sayur dan pada program kali ini, kami jadikan sayur sebagai bintang dalam makanan,” katanya.

Syed Jamidin berkata, peserta bukan saja diajar teknik yang betul dalam menghasilkan hidangan, tetapi juga didedahkan kepentingan kebersihan dan mematuhi peraturan ketika menggunakan perkakas di dapur.

Menurutnya, peserta diberi peluang menyediakan sajian dan hiasan me­ngikut kreativiti masing-masing.

Peserta program Chef Cilik itu menerima tajaan daripada UDA Holdings Bhd, Jamu Mak Dara dan Nasi Kukus Mama cawa­ngan Pekan yang diberikan sijil penyertaan serta cenderamata.

Bertemakan Eat Your Greens, peserta yang me­ngenakan apron dan topi cef dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk memasak, menghiasi salad campuran, ayam panggang dan pencuci mulut mufin campuran labu serta lobak merah.

Jelas tergambar keterujaan peserta ketika menyediakan sajian berkenaan walaupun pada peringkat awal mereka kelihatan malu-malu dan lebih ba­nyak berdiam kerana tidak mengenali antara satu sama lain.

Beberapa peserta yang ditemui berpuas hati dengan aktiviti disediakan kerana ia secara tidak langsung memberi pendedahan kepada mereka cara menyediakan menu sajian sihat.

Irfan Hakim Mad Khadri, 9, berkata, tabiat suka memasak yang dimilikinya sedari kecil menyebabkan dia bertekad menghabiskan setiap cuti sekolah mengikuti kelas masakan dan sudah menyertai lima kelas Chef Cilik Ancasa anjuran hotel berkenaan sebelum ini.

“Saya suka memasak terutama lepas te­ngok ramai kanak-kanak di Amerika Syarikat pun memasak dalam ranca­ngan Masterchef Junior. Kalau boleh, saya pun nak masuk pertandingan itu,” katanya.

Anak ketujuh daripada lapan beradik itu berkata, dia tidak pernah berasa malu untuk memasak kerana menganggap cakap-cakap bahawa memasak tugas wanita sebagai sudah lapuk ditelan zaman.

Abangnya, Haris Hamidi, 12, juga sering menemaminya ke kelas itu dan mereka sering ber­saing memasak di rumah selepas ibu mereka, Aida Husin, 40, memberikan kepercayaan menggunakan ruang dan peralatan dapur.

“Ibu selalu pesan supaya kami selalu berhati-hati dan sentiasa pastikan api dimatikan selepas memasak,” kata Irfan Hakim sambil tersenyum menunjukkan isyarat sedap pada ayam panggang yang dimasaknya.

Amanda Lam, 10, berkata, peluang menyertai program itu digunakan sebaik mungkin untuk mempelajari kaedah me­nyediakan sajian ayam panggang.

“Sebelum ini, saya bersama keluarga selalu ke restoran makanan Barat untuk menikmati sajian ayam panggang. Selepas ini, saya akan cuba memasaknya di rumah, tetapi perlu mendapat izin daripada ibu terlebih dulu.

“Cef juga memberi tunjuk ajar mengenai keselamatan ketika berada di dapur dan memberi penekanan aspek kebersihan dalam penyediaan makanan,” katanya.

Darwishah Nordin, 12, teruja menyertai kelas masakan itu selepas beberapa kali tertangguh kerana kesibukan ibu bapanya.

“Baru kali ini saya berpeluang menyertai program yang saya tunggu-tunggu setiap kali cuti sekolah. Syukur kerana dapat menyediakan masakan kegemaran saya, ayam panggang dengan sos pencicah sekali.

“Peserta juga dapat mewarna lukisan batik sebagai aktiviti sampingan dan bagi saya ia satu pe­ngalaman baru yang sukar dilupakan,” katanya.

Darwishah yang menggemari masakan berasaskan ayam tidak menolak untuk menyertai kelas masakan musim akan datang.

“Setiap kali program, cef menyediakan menu yang berlainan. Justeru, inilah peluang untuk saya mempelajari cara menghasilkan masakan terbaik sesuai dengan selera kita.

“Di rumah, saya juga belajar memasak dengan ibu, tetapi di sini saya dapat mempelajari kaedah penyediaan makanan kesihatan secara lebih terperinci,” katanya.

Firas Wajdi Mohd Aizan, 10, berkata, dia dan rakan begitu teruja dapat belajar memasak ayam panggang dan menghias mufin lobak.

“Seronok sebab ini kali pertama saya menyediakan semua hidangan itu. Saya juga belum pernah makan salad campuran dan tidak sangka ia sedap dan berkhasiat.

“Saya juga akan pastikan menyertai program ini pada masa akan datang,” kata murid Sekolah Kebangsaan (SK) Nenasi itu.

Siti Shameera Mohd Mahathir, 11, pula teruja apabila dapat memasak ayam panggang dan menik­matinya buat kali pertama.

“Kalau di rumah, kebiasaannya saya hanya bantu ibu ketika hujung minggu kerana hari sekolah sibuk dengan pelbagai aktiviti seperti kelas tuisyen dan riadah pada sebelah petang.

“Program ini memberi pengalaman baru kepada saya kerana cef memberi tunjuk ajar penggunaan peralatan memasak yang betul dan langkah keselamatan yang perlu diambil jika berlaku kejadian tidak diingini seperti kebakaran atau luka terkena pisau,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2016 @ 5:00 AM