HAZRUL (kiri) bersama Bendahari MyInvent Shahrizal Muhamad Masri (tengah) dan Setiausaha Agung MyInvent Firdaus Ismail di Taman Teknologi Malaysia.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Dewan Usahawan Inovasi & Teknologi Malaysia (MyInvent) menyasarkan untuk membantu sekurang-kurangnya 2,000 syarikat inovasi dan teknologi untuk menembusi pasaran Malaysia serta ASEAN, tahun ini.

Presidennya Hazrul Hisyam Hassan berkata, MyInvent yang ditubuhkan setahun lalu mempunyai 324 ahli yang terdiri daripada syarikat inovasi dan teknologi dalam pelbagai sektor antaranya IT, teknologi hijau, animasi dan kandungan kreatif.

Beliau berkata, MyInvent komited menjadi platform membangunkan usahawan inovasi dan teknologi yang dapat mengakses pasaran, sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara.

“Kebanyakan masalah dihadapi syarikat inovasi dan teknologi ini dari segi pembiayaan dan akses pasaran yang sukar untuk mereka peroleh.

“Oleh itu, kami tampil mewujudkan MyInvent bagi menangani permasalahan ini untuk memastikan lebih banyak syarikat yang berpotensi dapat dikembangkan,” katanya, di sini.

Menurutnya, 40 peratus daripada ahli MyInvent terdiri daripada usahawan yang terbabit dalam bidang IT dan pihaknya yakin ahli MyInvent akan terus meningkat terutama mereka yang mempunyai produk berkualiti untuk diketengahkan.

Hazrul berkata, pihaknya juga berharap dapat memperoleh dana daripada kerajaan untuk memenuhi peruntukan perbelanjaan modal (Capex) bagi pelbagai program dilaksanakan sepanjang 2016.

“Capex MyInvent bagi tahun ini dianggarkan sebanyak RM5 juta dan kami akan melaksanakan program membabitkan acara peringkat antarabangsa.

“Buat masa ini, barisan exco kami terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk mengadakan semua program bagi membantu ahli kami dan selain itu, MyInvent turut membantu mereka dari segi bimbingan, khidmat rundingan, akses pasaran, memohon pembiayaan dan membuat kertas kerja yang betul,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agungnya, Firdaus Ismail berkata, MyInvent juga memberi fokus kepada Program Pembangunan Vendor (VDP) bagi menggalakkan syarikat inovasi yang berpotensi dikembangkan.

“Kami akan memilih syarikat yang menunjukkan prestasi terbaik sebagai contoh Amiran Technology Sdn Bhd (Amiran) dan Wawasan Paradigma yang memperoleh projek bernilai jutaan ringgit dan memberi peluang kepada vendor lain.

“MyInvent yakin jumlah syarikat yang menyertai VDP akan meningkat kepada 10 syarikat menjelang 2016. Untuk maklumat lanjut boleh melayari www.myinvent.org,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2016 @ 4:51 AM