Penduduk Iran mengadakan demonstrasi diTeheran, hari ini, membantah pelaksanaan hukuman mati ulama Shiah, Sheikh Nimr al-Nimr oleh Arab Saudi Sabtu lalu. - Foto AFP

Teheran: Sekutu Arab Saudi mengikut jejak negara itu memutuskan atau menilai semula hubungan diplomatik dengan Iran selepas tindakan Iran menggeledah misi diplomatik Arab Saudi di negara itu yang berpunca daripada pelaksanaan hukuman mati ulama Shiah terkenal.

Sudan dan Bahrain menyatakan akan memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran selepas Arab Saudi berbuat demikian Ahad lalu. Selain itu, Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga mengumumkan ia menghadkan hubungan dengan Teheran, hanya untuk isu ekonomi manakala Somalia mengkritik Iran.

Sabtu lalu, Arab Saudi melaksanakan hukuman mati terhadap ulama Shiah, Sheikh Nimr al-Nimr, dan 46 lagi atas tuduhan keganasan. Ia menjadi pelaksanaan hukuman mati terbesar di Arab Saudi sejak 1980.

Bahrain mengarahkan pegawai diplomat Iran meninggalkan negara itu dalam masa 72 jam dan memanggil pulang dutanya. UAE menyatakan ia akan mengurangkan jumlah pegawai diplomatiknya di Iran dana akan memanggil pulang duta.

Semalam, Menteri Luar Arab Saudi Adel al-Jubeir mengumumkan negara itu memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran serta memanggil pulang duta serta semua kakitangan diplomatiknya dan memberi masa 48 jam kepada kakitangan diplomatik Iran meninggalkan negara itu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2016 @ 11:01 PM