Kuala Terengganu: Banjir di Terengganu bertambah buruk malam ini apabila 4,813 mangsa dipindahkan berbanding 3,863 petang tadi.

Pemangku Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu Roslina Ngah dalam kenyataanya berkata sehingga 9 malam ini, dua lagi pusat pemindahan banjir dibuka masing-masing di Setiu dan Besut menjadikan jumlah keseluruhan pusat pemindahan yang dibuka kini ialah 38 buah.

“Di daerah Setiu, pusat pemindahan yang baru dibuka ialah Balai Raya Kampung Jelapang yang menempatkan 16 mangsa dari lima keluarga.

“Di Besut pula, pusat pemindahan yang baru dibuka ialah Surau Kampung Pengkalan Kubur yang melibatkan 43 mangsa dari 14 keluarga,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat banjir di negeri ini dengan menghubungi bilik gerakan bencana negeri di talian 09-6316021 atau melayari laman web etindakan.terengganu.gov.my. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 10:32 PM