KUANTAN 03 December 2014. Lebuhraya Pantai Timur 2 di kilometer 262 dari Jabor menuju ke Cheneh yang akan dibuka sepenuhnya pada 31 Disember ini. NSTP/Mustaffa Kamal
Oleh Rosli Ilham
am@hmetro.com.my

Chukai: Kerajaan negeri akan menaik taraf termasuk melebarkan laluan daripada dua menjadi empat lorong di susur masuk ke Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) bagi memberikan keselesaan kepada pengguna.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Terengganu Ir. Rosli Othman berkata, kerja menaik taraf itu akan membabitkan empat susur masuk di Plaza Tol Kuala Terengganu, Plaza Tol Kerteh, Plaza Tol Kijal dan Plaza Tol Chukai.

Menurutnya, ia akan dibuat secara berperingkat-peringkat termasuk meninggikan dan meluruskan laluan serta menyediakan sistem tebatan banjir di sepanjang susur terbabit selain daripada melebarkannya.

"Kerajaan negeri turut mengenal pasti tiga lagi projek menaik taraf jalan dan sedang mendapatkan peruntukan daripada Kerajaan Pusat.

"Kalau tiada halangan dan sekiranya peruntukan itu diluluskan, kerja terbabit akan segera dilaksanakan bermula 2017 nanti," katanya selepas merasmikan program 'Kembali ke Sekolah dan Gunting Rambut Percuma' kepada pelajar di Tapak Pasar Tani Bandar Kerteh, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2016 @ 7:15 PM