Oleh Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Penyertaan pertama pemain remaja negara Danial Nurhaqiem Shahrul Izham (gambar) di Kejohanan Skuasy Remaja Terbuka British (BJO) diharap dapat memberi sinar baru dalam karier atlet itu yang bakal beraksi dalam kategori bawah 15 tahun.

Bagi Haqiem, dia mahu terus melangkah lebih jauh dalam sukan berkenaan dan berjaya mencipta nama sebagai seorang pemain yang berjaya satu hari nanti dengan menjadikan BJO sebagai titik kebangkitannya.

Menggunakan perbelanjaan sendiri selain bantuan kewangan dari Majlis Sukan Terengganu, Haqiem meletakkan sasaran untuk mara ke separuh akhir namun perlu berwaspada dengan cabaran yang menantinya.

“Saya cuba memberi yang terbaik dan perlu berhati-hati dengan saingan lawan terutama dari Mesir dan England. Doakan kejayaan saya,” katanya.

Bergelut dengan cuaca sejuk, Haqiem akan menentang lawan dari England William Smith pada pusingan pertama yang bermula hari ini.

Selain Haqiem, turut mengibarkan cabaran dalam kategori bawah 15 adalah Mohd Aiman Mohd Nawi dan Muhd Hafiz Zhafri.

Terdahulu, Haqiem beraksi di Terbuka Protenfract, kejohanan pemanas badan sebelum turun beraksi di BJO dan dia sekadar menamatkan saingan di kedudukan keempat apabila tewas di tangan rakan senegara, Hafiz.

Mendapat bimbingan daripada jurulatih Raymond Arnold, Haqiem berharap mampu beraksi baik bagi membolehkan dia di serap ke dalam program pelapis Majlis Sukan Negara (MSN).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2016 @ 5:09 AM