BERSAMA suami, Julfekar yang sangat memahami sikap Min.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my

Diam tak diam, sudah hampir dua tahun penyanyi Min Malik bergelar isteri kepada komposer Julfekar Ahmad Shah.

Penyanyi berusia 27 tahun ini bahagia melayari kehidupan berumah tangga.

Apatah lagi Julfekar seorang lelaki yang matang dan memahami sikap Min yang masih menyesuaikan diri dengan alam rumah tangga.

“Kami berkahwin pada April 2014 dan terasa sekejap sangat masa berlalu. Tak dinafikan sejak berkahwin kehidupan saya lebih teratur. Saya makin pandai menguruskan rumah tangga.

“Walaupun saya anak sulung, sebelum ini urusan di rumah semuanya mama yang uruskan. Syukurlah sekarang saya makin cekap uruskan kerja rumah sambil dibantu suami.

“Paling penting, keluarga suami iaitu bekas isteri dan anak-anaknya sangat baik dan rapat dengan saya. kadang-kadang kami pergi bercuti bersama-sama tanpa sebarang masalah,” katanya.

Bagaimanapun dalam gembira, terdetik perasaan sedih di hati penyanyi lagu Hilangkanlah ini apabila belum mempunyai tanda-tanda hamil.

“Siapa yang tak terasa apabila belum ada rezeki nak timang anak. Tambah lagi, adik saya, Farawahida Abdul Aziz yang berkahwin pada Mei lalu kini dah mengandung empat bulan.

“Saya mengaku memang terasa ‘down’ juga, tetapi abang Julfekar pula tenang kerana dia sudah ada anak dan empat cucu. Kalau boleh saya dapat seorang anak pun jadilah sebagai penyambung zuriat.

“Untunglah saya kahwin dengan lelaki berusia seperti abang Julfekar kerana dia seorang yang tenang dan tak melatah. Lama-kelamaan saya belajar bersabar dan anggap Allah belum beri rezeki buat saya,” katanya.

Puas lahirkan album

Bersikap positif, Min menggunakan masa yang ada bagi mempromosikan album sulungnya berjudul Min Yasmin yang kini berada

di pasaran.

“Alhamdulillah album ini berjaya juga disiapkan biarpun agak lambat kerana suami banyak menyelesaikan projek album lain untuk syarikatnya MillenniumArt Sdn Bhd.

“Biarpun saya isterinya, dia tetap melayan saya sama seperti orang lain. Saya langsung tak dapat layanan istimewa daripadanya. Bahkan saya pun tak terasa hati kerana kami profesional ketika bekerja.

“Dek kerana itulah saya terpaksa menunggu sehingga lima tahun lamanya sebelum album pertama ini siap dan dipasarkan. Dia juga tegas ketika bekerja dan saya sangat menghormatinya,” terangnya.

Album sulung Min memuatkan lagu Teman Yang Ku Kasih, Hilangkanlah, Jauh Di Mata, Sampai Di Akhir Cerita, Panah Asmara, Seperti Yang Lain, Titipan Kasih dan Bukan Untuk Sesaat.

“Semua lagu ini pernah menjadi lagu tema untuk filem dan drama dan rasanya tak sukar untuk diterima peminat. Mereka sudah biasa dengar lagu-lagu ini dan menyukainya.

“Kesempatan yang ada juga saya gunakan dengan anggap sebagai proses belajar untuk mematangkan diri dalam industri seni. Saya anggap ini masa yang tepat untuk album ini menemui peminat,” katanya.

Selain itu Min juga sudah melancarkan sebuah album duet bersama penyanyi Filipina, Nikki Bacolod berjudul 2 Voices di negara itu pada Julai lalu.

Dia turut menerima anugerah Asian Singer 2015 dan Music Ambassador di Gawad Sulo Awards 2015 yang berlangsung di Manila baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2016 @ 5:01 AM