PEGAWAI penguatkuasa JPJ memeriksa kenderaan ketika operasi bersepadu. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Oleh Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) mengeluarkan 441 saman dan menyita 16 kenderaan menerusi Ops Bersepadu Tahun Baru 2016 yang dijalankan di dua lokasi di ibu kota, malam tadi.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa JPJ, Mohammad Kifli Mahassan berkata, operasi selama lima jam terbabit dilaksanakan menerusi sekatan jalan raya di Bulatan Kampung Pandan ke Susur Jalan Tun Razak dan Bulatan Kampung Pandan ke Jalan Darvis.

Katanya, operasi terbabit turut mendapat kerjasama daripada agensi penguatkuasa lain antaranya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Imigresen dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

"Seramai 153 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi terbabit dalam operasi bersepadu yang bermula dari 10 malam hingga 3 pagi ini.

“Sebanyak 1,689 kenderaan diperiksa membabitkan kereta dan motosikal. Hasil pemeriksaan, 441 saman dikeluarkan kepada pemilik atas pelbagai kesalahan dan 16 kenderaan di sita.

"Antara kesalahan yang paling banyak dikesan adalah membabitkan cukai jalan tamat tempoh iaitu sebanyak 264 kes," katanya.

Mohammad Kifli turut 18 warga asing ditahan oleh Jabatan Imigresen selepas didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, empat lelaki tempatan turut ditahan oleh AADK selepas gagal melepas ujian saringan air kencing dan didapati positif dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2016 @ 3:52 PM