KEADAAN kereta dipandu mangsa (gambar kecil) yang terbalik selepas hilang kawalan dan terbabas. FOTO ihsan Polis
Oleh Asrizal Aris
am@hmetro.com.my


Kampar: Wanita maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan dan terbabas sebelum terbalik di Kilometer 299.7 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian 7.20 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Nursheda Asyikin Zubir, 22, berasal dari Telok Panglima Garang, Selangor, menaiki kereta bersama tiga lagi rakannya dan dalam perjalanan ke arah Ipoh

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, tiga rakan mangsa iaitu dua lelaki dan seorang wanita bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

"Siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa yang datang dari arah Kuala Lumpur menghala ke Ipoh dan apabila sampai di tempat kejadian telah hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan terbalik.

"Akibat kemalangan itu kesemua penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pemandu mengalami kecederaan parah serta meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Kampar untuk dibedah siasat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, bedah siasat dijalankan 10.30 pagi tadi dan jenazah akan diserahkan kepada ahli keluarga untuk pengebumian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2016 @ 1:50 PM