PERTANDINGAN Lakaran Kereta Idaman Toyota.

Kuala Lumpur: UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMW Toyota Motor) menerusi pertandingan Lakaran Kereta Idaman Toyota bakal menjadi platform terbaik untuk mencungkil bakat kanak-kanak dalam penghasilan lakaran kereta idaman mereka.

Pertandingan yang diadakan untuk kali kesepuluh itu dianjurkan bertujuan untuk memberi inspirasi dan ruang kepada kanak-kanak di seluruh dunia bagi berkongsi idea berkaitan masa depan dunia permotoran melalui lukisan kereta impian.

Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama berkata, penganjuran itu juga berupaya menyuntik kreativi dan inovasi yang juga adalah prinsip teras Toyota iaitu Kaizen yang digunakan untuk mempertingkatkan produk serta perkhidmatan.

“Melalui pertandingan ini juga, ia akan menonjolkan idea serba baru kepada dunia malah mungkin boleh jadikan ia sebagai inspirasi untuk tawaran luar biasa pada masa akan datang,” katanya, semalam.

Semasa penganjuran pertamanya yang diadakan pada 2004 oleh Toyota Motor Corporation di Jepun, ia adalah pertandingan seni kanak-kanak yang terbesar di dunia dan pada tahun lalu, sebanyak 875,000 penyertaan direkodkan daripada 81 negara.

Sementara itu, Presiden UMW Toyota Motor Datuk Ismet Suki berkata, kanak-kanak Malaysia kebanyakannya sangat kreatif kerana pada tahun lalu pihaknya telah menerima sehingga 100 penyertaan dan ia jumlah yang begitu memberangsangkan.

Semua pemenang peringkat kebangsaan itu akan diumumkan pada April 2016 sekali gus melayakkannya untuk ke peringkat dunia dan pemenang kategori dunia akan diumumkan pada September tahun sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2016 @ 6:29 AM