DEMONSTRASI aman di Ampang Park. FOTO Asyraf Hamzah
Oleh Suraya Roslan
am@hmetro.com.my


Ampang: Seramai 137 pemilik dan penyewa premis di pusat beli-belah Ampang Park bersetuju dengan pelan reka bentuk baru yang dikemukakan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT CORP).

Naib Presiden Peniaga Ampang Park, Wan Kamal Izzuddin Wan Kassim berkata, persetujuan itu dilakukan selepas perbincangan dengan MRT CORP supaya pusat beli-belah tertua di Malaysia itu tidak dirobohkan.

"Kami mengambil kira suara majoriti pemilik dan penyewa yang bersetuju untuk memberi laluan pembinaan stesen bawah tanah Ampang Park asalkan tidak merobohkan bangunan berkenaan.

"Kami mengandaikan pihak pengurusan Ampang Park cuai kerana bertindak membelakangi pemilik dan penyewa dalam membuat sebarang keputusan berhubung isu pengambilan tanah ini," katanya ketika mengadakan demonstrasi aman di pusat beli-belah itu, hari ini.

Menurutnya, perkara itu hanya diketahui menerusi surat khabar, malah tiada sebarang surat mahupun perbincangan dibuat dengan semua pemilik dan penyewa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2015 @ 3:53 PM