Oleh Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


Putrajaya: Anak lelaki penyanyi wanita era 80-an berusia 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Putrajaya Isnin lalu atas cubaan curi motosikal.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, remaja terbabit dihadapkan ke mahkamah bersama rakannya berusia 18 tahun.

Bagaimanapun, katanya, kedua-dua tertuduh terbabit tidak mengaku salah.

"Mereka sebelum ini ditahan di sekitar Putrajaya kira-kira dua minggu lalu dengan kerjasama penduduk di sini.

"Tuduhan di mahkamah mengikut Seksyen 379A/511 Kanun Keseksaan," katanya ketika ditemui pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Daerah Putrajaya, hari ini.

Rosly berkata, sebutan semula kes berkenaan adalah pada Februari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2015 @ 1:48 PM