MUS pamer vokal bertenaga.
DAYANG sampaikan lagu Dayang Sayang Kamu dan Di Pintu Syurga.
ADIRA nyanyi dua lagu.
PERSEMBAHAN pembukaan daripada penyampai radio RTM.
FIRMAN makin matang dengan persembahan.
Oleh Erdiehazzuan Ab Wahid
hmkk@hmetro.com.my


Gabungan tujuh stesen radio di bawah Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang menjayakan Konsert Aktif 7 di pekarangan Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini berjaya menarik lebih 4,000 penonton.

Selain persembahan penyanyi tempatan dan penyampai radio, konsert berkenaan turut menampilkan penyanyi popular seperti Mus MAY, Adira, Firman, Dayang Nurfaizah dan Forteen.

Turut membuat persembahan ialah Dino Menara, Fairuz Misran (Juara Bintang P Ramlee) dan Tracy Wonn (Juara Bintang Ai Minnal).

Hadir sama menyaksikan konsert gabungan stesen radio KlasikFM, NasionalFM, KLFM, AiFM, MinnalFM, TraxxFM, AsyikFM serta SabahFMdan Sabah VFM itu ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak; Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Abu Bakar Ab Rahim, Pengarah Bahagian Program Radio Dr Nawiyah Che Lah dan Pengarah Penyiaran Negeri Sabah Ali Ngasio.

Penyanyi kelahiran Sabah, Adira mula membuat penonton teruja apabila memulakan persembahan dengan lagu Ilusi dan Hilang.

Ini diikuti persembahan penyampai radio TraxxFM, DJ mary yang mendendangkan agu All About The Bass sebelum dimeriahkan dengan persembahan kumpulan Forteen yang membawa dua lagu Linangan Terakhir dan Tidak Pernah Berjumpa.

Terdahulu, konsert dimulakan dengan persembahan barisan penyampai radio menyanyikan lagu seperti Not For Sale, Tujuh Kali Malam Minggu dan Malam Ini Kita Punya.

Konsert berdurasi kira-kira tiga jam itu turut diserikan dengan persembahan lagu medley tempatan Sabah iaitu Macam di KK dan Sayang Kinabalu sebelum persembahan daripada Dino Menara, Fairuz dan Tracy.

Konsert semakin hangat apabila giliran Firman, Dayang Nurfaizah dan Mus MAY mengambil alih pentas.

Firman yang juga juara Akademi Fantasia 2014 mendendangkan dua lagu popularnya iaitu Paling dan Di Pintumu, manakala Dayang turut menyampaikan dua lagu iaitu Dayang Sayang Kamu dan Di Pintu Syurga.

Mus yang muncul dalam persembahan penutup semestinya paling dinanti-nanti penonton khususnya peminat rock.

Penyanyi MAY yang terkenal dengan vokal bernada tinggi itu menyampaikan lagu popular MAY di era 1980-an iaitu Sendiri dan Sketsa Sebuah Cinta.

Sementara itu, Salleh berkata, konsert anjuran RTM itu dilihat dapat membantu memantapkan lagi proses integrasi nasional melalui pembabitan semua pihak termasuk artis tempatan Sabah.

Katanya, program yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara melalui stesen radio Nasional FM dan Sabah FM itu diharap akan dapat diteruskan di lokasi lain selepas ini.

“Program ini amat baik kerana ia mendekatkan penyampai radio RTM dengan pendengar sekali gus memudahkan penyaluran maklumat yang tepat dan cepat kepada rakyat,” katanya.

Rakaman konsert berkenaan akan ditayangkan di saluran TV2 jam 9 malam esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2015 @ 8:43 AM