Oleh Mazizul Dani
am@hmetro.com.my


Kemaman: Serik apabila mengalami kerugian selepas barangan kedai runcitnya rosak dihanyutkan banjir pada 2010, seorang pemandu lori, Abdul Majid Ngah, 58, membina rumah rakit yang juga dijadikan kedai runcit sebagai persediaan jika ditimpa musibah berkenaan.

Rumah rakit yang diperbuat daripada 50 tong drum dengan keluasan 33 meter persegi turut didiami keluarganya jika banjir di Kampung Seberang Tayor Hilir, di sini.

"Sejak 2013, iaitu tahun di mana banjir terlalu teruk sehingga rumah saya yang dua tingkat itu cuma tinggal bumbung sahaja, saya ambil keputusan bina rumah rakit ini dengan kos RM5,000.

"Pada tahun itu, barang-barang di kedai runcit saya yang asal semua rosak akibat banjir.

"Idea membina rumah rakit ini tercetus selepas melihat sepupu saya memindahkan barang-barangnya ke rumah rakit dan kemudian saya melihat rumah rakit di Tasik Kenyir.

"Jadi saya pun ambil keputusan bina rumah berkenaan sebab setiap tahun pun kami berhadapan masalah sama," katanya yang sudah 55 tahun tinggal di kampung berkenaan.

Beliau menghabiskan masa kira-kira dua jam selepas habis bekerja untuk membina rumah rakit itu secara berperingkat pada awal 2014.

Rumah rakit yang juga kedai runcit itu digunakan sepenuhnya ketika musim banjir pada hujung tahun berkenaan apabila daerah ini di landa banjir teruk.

"Setiap kali hujan atau ramalan cuaca mengatakan hujan, saya bersedia memindahkan barangan keperluan asas seperti tepung, gula dan minyak masak ke rumah rakit.

"Alhamdulillah sambutan pelanggan sangat baik terutamanya pada tahun lepas apabila kampung ini dinaiki air selama 16 hari sebelum surut sepenuhnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2015 @ 10:05 PM
RUMAH rakit kedai runcit yang dibina bagi mengelak banjir di Kampung Seberang Tayor Hilir, Kemaman. FOTO Aswadi Alias