EMPANGAN air Sungai Layang. FOTO arkib NSTP
Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudin
am@hmetro.com.my


Johor Bahru: SAJ Holdings Sdn Bhd (SAJ) menamatkan Bekalan Air Berjadual (BAB) bagi kawasan Pasir Gudang, Masai dan sebahagian Johor Bahru hari ini apabila paras Empangan Sungai Layang menunjukkan trend kenaikan yang positif.

Keputusan mengakhiri operasi BAB dibuat selepas mengkaji secara terperinci pola taburan hujan, keberkesanan projek penyaluran air mentah Cabang Tiram–Empangan Layang, keberkesanan pemindahan air mentah Sungai Johor–Empangan Layang serta kemampuan Loji Rawatan Air (LRA) Sultan Iskandar merawat air mentah dan menyalurkannya pada kapasiti yang diperlukan melalui rangkaian sistem paip yang efisien.

Ketua Komunikasi Korporat SAJ, Jamaluddin Jamil dalam satu kenyataan sebentar tadi berkata, ia tidak termasuk tindakan operasional melalui pengolahan sistem bekalan air yang banyak membantu dalam penjimatan penggunaan air dari Empangan Sungai Layang, seperti liputan tambahan dari sistem bekalan air yang berhampiran.

Katanya, sungguh pun paras empangan berada di paras 21.30 meter, yang masih di bawah paras kritikal 23.50 meter, namun pihak SAJ optimis dengan inisiatif-inisiatif yang dilakukan serta mengambil kira keperluan pengguna yang menghadapi cuti umum dan persiapan awal persekolahan.

Operasi Bekalan Air Berjadual berlangsung sejak Ogos yang lalu membabitkan 23 lori tangki, 175 tangki statik, seramai 201 anggota tambahan, 585 injap yang dioperasikan setiap hari, 83 buah sekolah, lapan pusat dialisis dan tiga hospital.

Pengguna yang memerlukan maklumat lanjut berkaitan bekalan air setempat boleh terus menghubungi SAJ Info Center menerusi Talian Mesra 1 800 88 7474 atau SMS 019 772 7474 atau menerusi e-mail customer.care@saj.com.my yang beroperasi 24 jam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2015 @ 6:14 PM