NASI goreng kiwi.
Oleh Norlaila Hamima Jamaluddin
laila@hmetro.com.my


Nasi goreng memang menjadi kegemaran keluarga, tetapi apabila dimasukkan banyak sayur yang dihiris halus, mulalah ada wajah anak yang berkerut kerana tidak boleh memilihnya untuk diasingkan di tepi pinggan.

Namun kerana tidak mahu mendengar ‘syarahan’ si tukang masak, sayur yang banyak khasiat itu akhirnya terpaksa ditelan. Namun, wajah yang kelat apabila dihidangkan nasi goreng versi lain juga mengandungi banyak sayur yang diracik tidak berpanjangan kerana bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa.

Memang sukar hendak mendidik keluarga khususnya golongan muda baik lelaki atau perempuan untuk menikmati sayur walaupun rata-rata tahu manfaatnya. Jadi ibu yang menjadi cef utama keluarga perlu mengambil inisiatif dan menjadi kreatif dalam menyediakan hidangan supaya kebaikan sayur-sayuran ini tidak terbiar begitu saja.

Berdasarkan garis panduan pemakanan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, kita disarankan mengambil sekurang-kurangnya lima hidangan sayur dan buah setiap hari. Ini bersamaan dengan dua cawan setengah sayur setiap hari.

Menurut Pusat Pengajian Kesihatan Awam Harvard, diet yang mengandungi banyak sayur dan buah akan merendahkan risiko banyak masalah kesihatan termasuk penyakit jantung dan strok. Kajian mendapati orang yang makan lima hidangan sayur dan buah setiap hari mempunyai risiko 20 peratus lebih rendah untuk mendapat masalah berkenaan.

Sayur dan buah juga membantu merendahkan risiko mendapat tekanan darah tinggi keadaan yang lama-kelamaan boleh merosakkan sistem kardiovaskular kita. Oleh kerana sayur dan buah juga kaya dengan serat, ia membantu sistem pencernaan dan melawaskan pembuangan bahan kumuh yang secara tidak langsung akan mencegah masalah dalam usus.

Untuk kelainan, disajikan resipi nasi goreng kiwi istimewa daripada Cef Rohani Jelani, sumbangan Zespri SunGold. Nasi goreng yang enak ini kaya khasiat dan sesuai dijadikan pencetus bagi menggalakkan amalan pengambilan sayur dan buah dalam keluarga. Untuk mendapatkan resipi menarik, bolehlah melayari laman sesawang www.zespri.com.my

BAHAN:

- 150g isi ayam, dihiris

- 1/2 sudu teh serbuk kunyit

- 1/4 sudu teh garam

- 2 sudu makan minyak masak

- 3 ulas bawang putih, diracik

- 2 sm halia diracik

- 1 1/2 sudu teh serbuk kari

- 3 cawan nasi

- 1 biji kiwi kuning (masak), dikupas dan dipotong dadu

- Garam dan serbuk lada sulah secukup rasa

BAHAN SALAD:

- 2 biji kiwi masak, dikupas dan dipotong dadu

- 1 biji timun bersaiz kecil, dibuang biji dan dihiris memanjang

- 2 kuntum bunga kantan, dihiris halus

- Sedikit daun pudina, pegaga, kaduk dan sebagainya sebagai tambahan

CARA MEMBUATNYA:

1. Perap ayam dengan serbuk kunyit dan garam selama lima minit. Ketepikan.

2. Panaskan minyak dalam kuali, masukkan bawang putih dan halia. Tumis hingga kuning keemasan.

3. Masukkan ayam, kuatkan api dan kacau dua hingga tiga minit. Masukkan serbuk kari dan kacau lagi dua minit.

4. Masukkan nasi, garam dan serbuk lada sulah. Kacau hingga rata.

5. Akhir sekali, masukkan buah kiwi dan kacau nasi goreng selama satu hingga dua minit. Hidangkan bersama salad.

Nota: Untuk kelainan, anda boleh mengubah suai resipi dengan memasukkan semua bahan salad dan digaul rata bersama nasi goreng.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2015 @ 11:54 AM