BADRUL pecah rekod 100m kebangsaan milik Watson Nyambek.
JIN WEI pemain badminton termuda negara menjulang trofi remaja dunia.
DHABITAH layak ke Rio acara 10m platform individu.
Oleh Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kejayaan kontinjen negara di temasya Sukan SEA dengan meraih 62 emas, 58 perak dan 66 gangsa untuk jumlah keseluruhan 186 pingat dianggap kejayaan membanggakan bagi 2015.

Turut membanggakan, kecemerlangan atlet paralimpik negara terutama di Kejohanan Olahraga Dunia IPC 2015 di Doha, Qatar serta Sukan Para ASEAN (APG) di Singapura yang secara tidak langsung memberi impak kepada arena sukan negara.

Namun bagi Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail, semua pihak terutama atlet tidak boleh berpuas hati dengan apa yang dicapai kerana mereka sebenarnya mampu memberikan lebih daripada itu.

Katanya, Transformasi Sukan Negara yang diperkenalkan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada awal 2015 sudah mula menunjukkan hasil dengan beberapa perubahan berlaku kepada setiap pemegang taruh untuk mencari titik kesamaan dalam memahami dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

“Program latihan atlet di peringkat elit, senior dan pelapis termasuk program mengenal pasti bakat yang dijalankan mendapat kerjasama erat semua pemegang taruh dan akan sentiasa diperkukuhkan,” katanya.

Menurutnya, selain kontinjen Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN, atlet muda seperti Goh Jin Wei dalam sukan badminton, Badrul Hisyam Abdul Manap (olahraga), Nur Dhabitah Sabri (terjun), Wilson Sim (renang) dan pelumba basikal trek turut memberi harapan dan membuktikan negara tidak ketandusan bakat.

Justeru, beliau berharap prestasi tinggi atlet terus meningkat dengan pemegang taruh seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Olimpik Malaysia (MOM), MSN, Institut Sukan Negara (ISN), Institut Pengajian Tinggi (IPT), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), persatuan sukan kebangsaan dan negeri serta Majlis Sukan Negeri terus memainkan peranan untuk memastikan kesinambungan dalam melonjakkan mutu sukan ke tahap lebih tinggi.

Shapawi berkata, audit yang dilakukan pada hujung 2014 membawa perubahan positif apabila beberapa masalah dikenal pasti seperti kurangnya titik kesamaan, sikap bertanggungjawab antara pemegang taruh serta tahap kesediaan untuk berubah, membawa kepada kemajuan sukan negara apabila mereka semakin jelas akan tugas masing-masing.

“Atas sebab itu MSN berharap 2016 berjalan seperti dirancang agar matlamat untuk bergelar juara keseluruhan Sukan SEA 2017 dapat direalisasikan,” katanya.

Selain itu, katanya, program Road to Rio akan diteruskan dan dikendalikan sepenuhnya ISN menerusi Program Podium agar pemburuan emas pertama Olimpik menjadi kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2015 @ 7:23 AM