Zainalabidin Ibrahim 36, menunjukkan kaki kanan anaknya yang termasuk ke dalam lubang tandas ketika berada di rumah pengasuh. - Foto ZULKARNAIN AHMAD TAJUDDIN
Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my


Pasir Gudang: Kaki kanan seorang kanak-kanak lelaki, Muhammad Yassar Ar Zuhdi Zainal Abidin, 3, tersepit selama hampir setengah jam dalam lubang tandas di rumah pengasuh di Taman Kota Masai di sini pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dimandikan pengasuh berusia 30-an.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan pada 8.53 pagi dan sampai di lokasi kejadian pada 9.09 pagi.

Menurutnya, operasi menyelamatkan kanak-kanak berkenaan tamat pada 9.16 minit.

"Anggota Bomba berjaya mengeluarkan kaki kanak-kanak berkenaan yang tersepit hingga paras betis dalam tempoh masa kira-kira tujuh minit.

"Mangsa tidak dibawa ke klinik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2015 @ 9:10 PM