Operasi SAR dihentikan. FOTO ihsan bomba
Oleh Mohd Rizal Abdullah
mohd.rizal@hmetro.com.my

Bintulu: Operasi mencari dan menyelamat(SAR) mangsa terakhir dalam tragedi bot karam di Sungai Rajang, Belaga Selasa lalu dihentikan hari ini.

Ketua Polis Daerah Belaga Superintendan Melay Tingom berkata, hanya seorang mangsa yang belum ditemui iaitu Sumitasen Thomas berusia 15 tahun.

Menurutnya, pasukan SAR antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat , Polis Diraja Malaysia(PDRM)dan Jabatan Pertahanan Awam(JPAM) sudah berusaha keras bagi mengesan mangsa berkenaan sehingga radius 40 kilometer dari lokasi kejadian.

"Hasil perbincangan dengan semua agensi terlibat, operasi SAR dihentikan hari ini selepas tujuh hari berusaha mengesan mangsa," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, mangsa berkenaan akan diklasifikasikan sebagai orang hilang

Sebelum ini, sebuah bot yang membawa sembilan penumpang karam di Sungai Rajang, Belaga, lima mangsa berjaya menyelamatkan diri, tiga wanita ditemui lemas, manakala seorang lagi hilang.

Kejadian berlaku akibat ombak kuat dipercayai berpunca daripada tongkang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2015 @ 8:50 PM