Oleh Zatul Iffah Zolkiply
am@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Jumlah mangsa banjir di Terengganu yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir berkurangan kepada 1,383 orang daripada 361 keluarga sehingga 5.30 petang tadi berbanding 1,704 orang (503 keluarga)pagi tadi.

Mereka ditempatkan di 18 pusat pemindahan di dua daerah iaitu Dungun dan Kemaman berbanding 31 pusat pemindahan di empat daerah pagi tadi.

Menurut Info Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kemaman masih mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 1,036 orang daripada 240 keluarga yang ditempatkan di 14 pusat pemindahan.

Di Dungun, seramai 347 orang (121 keluarga) ditempatkan di empat pusat pemindahan berbanding 474 orang (194 keluarga) ditempatkan di 11 pusat pemindahan pagi tadi.

Bagi daerah Dungun dan Marang, kesemua mangsa dibenarkan pulang secara berperingkat selepas keadaan air mula surut di rumah masing-masing.

Sementara itu, Sungai Dungun di Kuala Jengai, Dungun mencatat paras air setinggi 23.02 meter melebihi paras amaran iaitu 20.25meter.

Selain itu, Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Dungun pula mencatat bacaan 11.77 meter melebihi paras berjaga-jaga iaitu 10.9 meter manakala Sungai Tebak, Kemaman pula melebihi paras amaran apabila mencatatkan bacaan 17.95 meter berbanding 17.8 meter.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2015 @ 6:53 PM
Amirul Hadi Adnan,23 (kiri) bersama Othman Mohammad,46, membersihkan meja dan kerusi di kedai makan apabila air banjir semakin surut di Kampung Nibung, Hulu Terengganu. FOTO Rozainah Zakaria