JAMAL terharu dapat bekerjasama dengan Johari.
JOHARI bersama barisan pemuzik Orkestra Kuala Lumpur.
SEMUA artis terbabit dalam persembahan penutup.
Oleh Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


Konsert Simfoni Kasih Maestro Profesor Datuk Johari Salleh anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang berlangsung baru-baru ini khusus untuk menghargai jasa pengarah muzik handalan itu dalam memartabatkan bidang muzik tanah air.

Konsert yang bermula pada jam 8 malam dan bertempat di Auditorium DBKL itu juga dianjurkan secara percuma untuk orang ramai.

Lebih menarik, konsert itu disemarakkan dengan penampilan artis popular tanah air seperti raja pop Datuk Jamal Abdillah, Dayang Nurfaizah, Fran dan Bob Yusof.

Secara peribadi, Jamal mengakui dia terharu apabila diberi penghormatan untuk terbabit dalam konsert bagi menghargai sumbangan bekas Pengarah Muzik Orkestra Kuala Lumpur yang pertama itu.

“Saya terima tawaran untuk menjayakan konsert ini kerana ingin bekerjasama dengan pemuzik handalan sepertinya. Pada masa sama, saya memang meminati persembahan dengan iringan orkestra.

“Selain itu, Johari juga adalah salah seorang pengarah muzik di RTM ketika saya menyertai pertandingan Bintang RTM pada 1979. Beliau juga pencipta melodi asal lagu dendangan saya, Seniman Menangis,” katanya.

Pada malam itu, Jamal membawakan rangkaian lagu popularnya secara medley iaitu Duniaku, Kau Lupa Janji dan Aku Penghiburmu.

Tidak ketinggalan, tiga lagi lagu yang disampaikan secara medley iaitu Ghazal Asmara, Ghazal Untuk Rabiah dan Samrah Mentari.

Selain menyanyi secara solo, Jamal turut berduet dengan Fran menerusi lagu Kehebatan Cinta yang popular satu ketika dulu.

Sebelum ini, Jamal pernah menjayakan konsert Selembar Kasih dan Majlis Makan Malam Amal Muzik,Universiti Teknologi MARA (UiTM) anjuran Fakulti Muzik UiTM yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) pada 29 Oktober lalu.

Menyusul selepas itu ialah Konsert Dua Dimensi membabitkan kolaborasi bersama Datuk M Nasir di RTM.

Konsert gabung artis pelbagai genre

Konsert Simfoni Kasih turut menampilkan artis daripada pelbagai genre iaitu Fran, Dayang Nurfaizah dan Bob Yusof dengan rangkaian lagu popular yang digubah semula oleh Johari.

Selain berduet dengan Jamal, penyanyi popular era 80-an itu turut menyampaikan lagu popularnya berjudul Sekadar Di Pinggiran dan La La Tropika. Penyanyi kelahiran Bumi Kenyalang, Dayang Nurfaizah pula menyampaikan rangkaian lagunya iaitu Di Pintu Syurga, You To Me Are Everything dan lagu barunya,Tak Pernah Menyerah.

Bintang kelahiran Akademi Fantasia, Bob pula menyampaikan tiga lagu iaitu Sayang Mas Merah, Joget Tak Senang Hati dan Ajari Aku.

Persembahan kemuncak pada malam itu diakhiri dengan lagu Rasa Sayang yang membabitkan semua artis. Acara pada malam itu dikendalikan pengacara DJ Hezry.

Mengimbas latarnya, Johari pernah terbabit dalam Orkestra Kuala Lumpur selama 16 tahun. Beliau bersara pada 2004 dan sudah 12 tahun tidak bergiat aktif dalam bidang muzik.

Komposer ternama ini juga pernah berkhidmat dengan RTM sebagai Pengarah Muzik kedua pada 1976 selepas tertubuhnya Orkestra RTM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2015 @ 8:23 AM