RUMAH di Kampung Kolam, Ajil, mula dinaiki air berikutan hujan lebat. FOTO Nazdy Harun
Oleh Zatul Iffah Zolkiply
am@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Paras air Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu, ketika ini dilaporkan melepasi paras bahaya iaitu 20.23 meter (paras bahaya 20 meter) berikutan hujan lebat sejak malam tadi.

Selain itu, Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman, juga dilaporkan melepasi paras bahaya iaitu 18.51 meter (paras bahaya 18.50 meter).

Jurucakap bilik gerakan bencana negeri berkata, berkata, Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja dan Sungai Dungun di Kuala Jengal, Dungun turut menghampiri paras bahaya iaitu 36.07 meter (paras bahaya 37.50 meter) dan 20.43 meter (paras bahaya 21 meter).

Dalam pada itu, sehingga 1 tengah hari tadi, 27 mangsa daripada 10 keluarga di daerah Hulu Terengganu dipindahkan ke pusat pemindahan banjir.

Jurucakap itu berkata, 10 mangsa daripada lima keluarga dari Kampung Kemat dipindahkan ke Balai Raya Kampung Kemat, Hulu Terengganu pada 10.15 pagi tadi.

Katanya, sebelum itu, 17 mangsa dari lima keluarga dari Kampung Tok Lawit dipindahkan ke Dewan Seri Putih, Kampung Tok Lawit, Hulu Terengganu 10.45 malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2015 @ 2:51 PM