TENTERA Israel menjaga pos kawalan di Huwara, Tebing Barat.
AFP

Nablus: Dua penduduk Palestin di Tebing Barat menikam dan mencederakan seorang tentera Israel semalam sebelum ditembak mati askar dalam kejadian terbaru peningkatan keganasan sejak tiga bulan lalu.

Kementerian kesihatan Palestin berkata, penyerang dikenal pasti sebagai Mohammed Sabaaneh, 17, dan Nur Eddine Sabaaneh, 23, dari Qabatia berhampiran Jenin di utara Tebing Barat yang dikuasai Israel itu.

Kejadian di Huwara adalah yang kedua semalam. Terdahulu, seorang lelaki Palestin menyebabkan seorang askar Israel cedera ringan di Baitulmaqdis sebelum dia berjaya ditangkap.

Gelombang serangan yang bermula sejak Oktober meragut nyawa lebih 135 orang Palestin serta 19 rakyat Israel, Amerika Syarikat dan Eritrea.

Kebanyakan orang Palestin terbunuh selepas melancarkan serangan manakala selebihnya ditembak mati tentera Israel ketika pertempuran dengan pasukan keselamatan.

Dalam kejadian semalam, tentera berkata seorang lagi askar mungkin cedera akibat terkena tembakan rakannya, namun perkara itu masih disiasat.

Perkhidmatan penyelamat Israel berkata, dua askar dibawa ke hospital tetapi tidak mengulas kecederaan mereka.

Sejumlah orang Palestin melancarkan serangan menggunakan pisau yang diumpamakan sesetengah pakar sebagai misi berani mati.

Orang Palestin semakin kecewa dengan penjajahan Israel dan keadaan yang tidak berubah langsung dalam usaha mencari kedamaian, selain kekurangan dalam kepemimpinan mereka.

Rundingan damai antara Palestin dan Israel pada April tahun lalu gagal selepas perbincangan selama sembilan bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2015 @ 5:05 AM