WATAK animasi kegemaran Upin dan Ipin yang mendapat permintaan positif dari luar negara.
Oleh Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur : Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengunjurkan peningkatan antara 10 dan 20 peratus eksport jualan pelbagai produk animasi tempatan ke pasaran asing tahun ini berbanding RM123 juta yang dicatatkan tahun lalu.

Peningkatan angka itu dijangka disokong permintaan pasaran ASEAN yang semakin meminati produk animasi keluaran Malaysia selain kemudahan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang disertai Malaysia ke beberapa negara asing.

Ketua Pengarah Finas, Datuk Khamil Othman berkata, rangkaian kerjasama FINAS dengan agensi antarabangsa yang luas seperti di Korea, Jepun, Australia, Filipina, Amerika Syarikat, Perancis, England, Singapura dan Kemboja memudahkan lagi kemasukan produk animasi tempatan ke pasaran luar.

Beliau berkata, produk animasi tempatan bukan hanya terhad kepada tayangan filem, malah ia membabitkan rantaian produk lain yang boleh dipasarkan berkaitan jenama sesuatu karya animasi berkenaan.

“Kami mempunyai hubungan baik dengan agensi dari luar negara untuk memudahkan karya tempatan memasuki pasaran negara mereka dan ini adalah salah satu tanggungjawab dilaksanakan oleh FINAS bagi memastikan produk tempatan boleh dipasarkan ke peringkat antarabangsa.

“Selain itu, filem tempatan juga mendapat permintaan dari pasaran ASEAN terutama dalam genre aksi dan pada tahun ini antaranya ialah filem Polis Evo yang dijangka mampu menembusi pasaran asing kerana ia mempunyai ciri serta citarasa penonton di rantau ini,” katanya kepada Bisnes Metro di sini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas kesan industri kreatif Malaysia sekiranya negara menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), beliau berkata, ia mampu menjadikan industri kreatif tempatan lebih kompetitif dan mudah untuk pelabur Malaysia menyertai filem asing yang mempunyai pengaruh besar di peringkat global.

Katanya, sekiranya Malaysia menyertai perjanjian itu, syarikat pelabur tempatan boleh menyuntik dana pelaburan ke dalam sesuatu filem dan ia mudah untuk mempromosikan negara secara langsung seperti mana yang berlaku di dalam filem antarabangsa ketika ini.

“Jika kita lihat dalam pembikinan sesuatu filem, lokasi pengambaran akan mempromosikan keunikan tempat berkenaan dan juga menampilkan jenama produk lain.

“Perkara ini sebenarnya adalah persetujuan yang dilakukan antara pelabur dan syarikat filem berkenaan untuk memastikan kedua-dua pihak mendapat manfaat daripada sesuatu karya untuk pasaran global,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2015 @ 5:05 AM