KELIHATAN anggota polis melakukan siasatan di rumah keluarga mangsa. IHSAN pembaca HM
Oleh Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my

Alor Gajah: Wanita berusia 66 tahun dikejutkan dengan penemuan mayat anak lelakinya di dalam rumah mereka di Batu 21 1/4 Kampung Pulau Sebang, kira-kira 10 pagi, hari ini.

Mangsa, Mohd Ridwan Tambi Chik, 37, ditemui terbaring di depan bilik ibunya dalam keadaan mula mereput dan berbau.

Menurut jurucakap polis, berdasarkan keadaan ketika ditemui mangsa dipercayai meninggal dunia antara lima hingga enam hari lalu.

"Pemeriksaan turut menemui tompokan darah pada kepala mangsa, kusyen dan lantai rumah. Namun, kami tidak menemui sebarang senjata untuk mengaitkan kematiannya dengan unsur jenayah.

"Arwah pulang bercuti pada 18 Disember lalu. Dia sendirian di kediaman itu. Apabila ibunya ke Kuala Lumpur untuk menziarahi adik-beradik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Muhamad Ismail Muhamad Yusuf, berkata kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

"Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Alor Gajah (HAG) untuk bedah siasat. Jika laporan menunjukkan kematian lelaki itu mempunyai kaitan dengan unsur jenayah kertas siasatan akan dibuka semula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2015 @ 8:32 PM