Kuala Lumpur: Tiada suasana tegang atau insiden ‘panas’ berlaku pada pertemuan pertama Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim dengan barisan jurulatih serta atlet negara di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.

Sebaliknya, pertemuan yang sememangnya menjadi hasrat Karim sejak kembali ke pangkuan badan induk itu selepas memenangi jawatan presiden pada mesyuarat agung tahunan (AGM) awal bulan ini berlangsung dengan baik dan aman.

Malah, beberapa nama yang sering mengkritiknya secara terbuka sebelum ini turut hadir serta diberi ruang untuk menyatakan pendapat.

“Lebih 80 atlet dan jurulatih hadir pada pertemuan hari ini. Segala-galanya berjalan dengan baik, malah saya secara terbuka memberi ruang kepada setiap atlet dan jurulatih menyatakan pandangan mereka.

“Pertemuan itu tidak lama, hanya berlangsung setengah jam, tapi banyak maklumat saya peroleh daripada mereka,” katanya.

Karim berkata, antara yang hadir pada pertemuan itu termasuk atlet lompat tinggi negara S Nauraj serta bekas jurulatih skuad pelapis negara Hamberi Mahat.

Karim berharap suasana harmoni itu berterusan sekali gus memulihkan kembali hubungannya dengan barisan atlet serta jurulatih negara.

“Matlamat pertama kami selepas pembentukan kepimpinan baru ini untuk memastikan Malaysia cemerlang di Sukan SEA Singapura tahun depan.

“Oleh itu, setiap atlet serta jurulatih perlu bekerjasama dan bekerja keras dari sekarang,” katanya.

Sebelum ini, kehadiran semula Karim dalam KOM mencetuskan kebimbangan atlet serta jurulatih berikutan rekod lampaunya ketika menggalas tugas selaku Timbalan Presiden badan induk itu.

Malah, Hamberi antara individu yang lantang mempersoal kehadiran Karim dengan menghantar petisyen kepada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam usaha menghalang Karim bertanding jawatan presiden.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 5:04 AM