PEMBINAAN bangunan mewah bakal mengubah imej Phnom Penh sebagai bandar paling cepat membangun di Asia Tenggara.
SYARIKAT Jepun, China, Korea Selatan dan Singapura menguasai sektor pembinaan Kemboja.
FERI berlayar di depan Hotel Sokha bertaraf lima bintang.
GOLONGAN kelas pertengahan dan elit tidak kisah berbelanja.
PEMBANGUNAN memanfaatkan penduduk dan pelancong.
ISTANA Diraja di Phnom Penh antara tarikan utama di bandar itu.

Dari pusat beli-belah hingga hotel mewah bertaraf lima bintang, Phnom Penh yang dulunya kota sepi kini semakin membangun sebagai salah satu bandar paling pesat membangun di Asia.

Di pusat bandar Phnom Penh terletak Aeon Mall yang baru dibuka pusat beli-belah mega pertama yang kini menjadi tumpuan pengunjung yang bukan saja mahu berbelanja malah tidak kurang juga yang sekadar mahu melihat keindahannya serta barangan terkini jenama antarabangsa seperti Levi’s dan Giordano.

Ada juga yang sekadar mengambil selfie di depan pokok Krismas besar yang menghiasi ruang legar utamanya.

Perkara seperti itu mungkin lazim dilihat di sekitar Asia Tenggara, namun ia sesuatu yang tidak mungkin dapat dibayangkan di Kemboja yang rakyatnya masih hidup serba kekurangan dengan pendapatan kurang AS$1.25 (RM5.35) sehari.

Dalam pada itu, golongan kelas pertengahan dan elit semakin wujud dalam masyarakat Kemboja dan sudah pasti mahu mencari cara untuk membelanjakan wang mereka.

Pelajar universiti, Bopha, 20, datang daripada keluarga yang baru mencapai kekayaan hasil jualan tanah bernilai AS$1 juta (RM4.29 juta) dan memandang positif pembaharuan itu.

“Saya gembira pusat beli-belah begitu moden wujud di Phnom Penh. Ini tandanya bandar kami semakin membangun.

“Sebelum ini saya terpaksa ke Thailand atau Singapura untuk membeli-belah, tetapi kini tidak perlu lagi. Saya bangga kerana tidak lama lagi kami juga akan memiliki bangunan pencakar langit seperti mereka,” katanya.

Pusat beli-belah binaan Jepun bernilai £135 juta (RM863.56 juta) itu hanya satu daripada puluhan kompleks seumpamanya, selain projek kondominium dan hotel yang semakin banyak dibina di Phnom Penh ekoran pertumbuhan ekonomi pesat dilalui Kemboja sejak beberapa bulan lalu.

Menurut Word Bank, ibu kota itu kedua selepas Laos di Asia Tenggara yang melalui perkembangan spatial bandar, dan ekonominya dijangka berkembang 6.9 peratus lagi tahun ini.

Di seluruh bandar itu, bangunan kondominium pencakar langit dengan nama hebat seperti ‘The Peak’ serta ‘Diamond Island’ dilengkapi papan iklan yang menjanjikan kehidupan urban sofistikated.

Menurut kerajaan, Kemboja meraih keuntungan bernilai £1.15 billion (RM7.35 bilion) hasil pelaburan dalam pembinaan pada Sembilan bulan pertama 2015 iaitu peningkatan sebanyak 13.7 peratus berbanding tahun lalu.

Kebanyakan pelabur terbaru dalam pasaran negara itu datang dari Jepun, China, Korea Selatan dan Singapura.

Bangunan pencakar langit pertama Kemboja, Vattanac Capital Tower setinggi 39 tingkat, disiapkan pada 2014 dan berbentuk seperti naga selain memuatkan prinsip tradisi feng shui China.

Tidak jauh dari situ, Perbadanan Pelaburan Luar Negara Kemboja melihat pada masa lalunya dengan sentuhan ala Perancis dalam apartmen bercorak Paris berlatarbelakangkan replika Arc de Triomphe dalam kompleks di tepi sungai di tengah-tengah Phnom Penh.

Namun tidak kurang yang bimbang kesan negatif pembinaan begitu pesat terhadap bandar yang pernah dikenali sebagai ‘Mutiara Asia’.

Ketika zaman pemerintahan Perancis, Phonm Penh dianggap antara bandar terindah di Asia Tenggara de­ngan lebuh yang luas selain kediaman cantik berhiaskan taman.

Hanya beberapa dekad kemudian, bandar itu menjadi sepi selepas tentera Khmer Rouge yang kejam menawannya dan mengarahkan dua juta penduduknya berpindah.

Bandar itu kembali ‘hidup’ selepas rejim komunis radikal berkenaan digulingkan pada 1979, tetapi perubahan landskap dan peningkatan aktiviti di situ semakin meningkat sejak beberapa tahun lalu.

Silas Everett dari The Asia Foundation di Kemboja bimbang keindahan asli bandar itu semakin lenyap apabila bangunan serta vila era penjajah diruntuhkan untuk projek pembinaan baru.

“Warisan pembinaan di Phnom Penh terkenal di seantero dunia, namun kadar pembinaan yang menyebabkan kemusnahan bangunan berkenaan amat membimbangkan, terutama yang dibina arkitek terkemuka Kemboja Vann Molyvann,” katanya.

Lebih sedih lagi apabila golongan miskin bandar semakin terpinggir untuk memberi laluan kepada orang kaya yang berebut peluang memiliki kediaman serba moden menyebabkan rumah penduduk sedia ada dimusnahkan.

Pengkritik Presiden Hun Sen yang memerintah sejak 30 tahun lalu mendakwa dia mengubah Kemboja sehingga semakin bergelumang dengan rasuah apabila golongan yang setia kepadanya mendapat habuan.

Pemimpin itu bagaimanapun tidak mempedulikan pandangan negatif malah dalam satu ucapan, November lalu dia menegaskan Kemboja pasti masih sekadar ladang kelapa jika Khmer Rouge masih berkuasa.

“Sebaliknya, bandar yang mati hidup semula hasil keringat orang kita sendiri,” katanya.

Namun tidak semua merasai keuntungan itu.

Penduduk Kemboja, Seng Seat, 60, yang bersiar-siar di Aeon Mall berkata: “Kebanyakan barang dijual terlalu mahal untuk saya. Kasut dan pakaian dijual jauh menjangkaui bajet.

“Saya cuma mampu melihat tanda harga sebelum terus meninggalkan kedai.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2015 @ 5:03 AM