AKSI si ibu dan anak menaiki beca.
PELBAGAI cara penyampaian digunakan dalam menggambarkan sejarah silam Pulau Pinang.
AKSI kanak-kanak membelai anak monyet.
AKSI bersahaja pengunjung mencuit hati.
KEUNIKAN lukisan yang bercahaya di dalam gelap ini jadi tarikan di Penang Time Tunnel.
Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my

Gelagat bersahaja rakan media yang asyik mengambil gambar mengikut gaya tersendiri cukup mencuit hati.

Dengan hanya berlatar belakangkan lukisan dalam bentuk tiga dimensi, setiap gambar yang diambil cukup mengagumkan dan punya nilai seni tersendiri.

Itulah yang dirasai penulis bersama rakan media lain saat menjelajah ke beberapa muzium menerusi pakej Muzium Trail Pulau Pinang.

Pulau Pinang yang mempunyai 20 muzium sememangnya antara destinasi menjanjikan pelbagai kelainan serta keseronokan terutama yang sukakan seni dan sejarah.

Muzium Trail Pulau Pinang adalah produk terbaru Tourism Malaysia Pulau Pinang yang bertujuan untuk memperkenalkan muzium bertema yang terdapat di negeri ini.

Selain itu, ia bagi menggalakkan pelancong domestik melawat muzium serta menggalakkan pelajar dan remaja mengenali sejarah negeri.

Menjadikan muzium antara tempat lawatan yang akan disenaraikan dalam jadual perjalanan pelancong ke negeri ini juga antara objektif Muzium Trail Pulau Pinang diwujudkan.

Penulis bersama rakan media lain cukup bertuah kerana diberi peluang untuk mengikuti penjelajahan yang cukup menarik ini menerusi program Pakat Mai Penang, anjuran Tourism Malaysia Pulau Pinang, baru-baru ini.

Penang Trick Art Museum

Dibuka secara rasmi pada 25 Oktober lalu dan mengambil masa kira-kira enam bulan untuk menyiapkan semua lukisan tiga dimensi (3D) yang ada. Penang Trick Art Museum ini adalah lokasi baru yang harus dikunjungi saat berkunjung ke Pulau Pinang.

Menggunakan khidmat artis tempatan dan antarabangsa bagi menghasilkan 45 gambar yang semuanya adalah 3D, kunjungan ke sini nyata tidak mengecewakan.

Anda sebaliknya akan berasa teruja dan terpesona dengan apa yang dilihat di dalam muzium dua tingkat ini.

Menariknya, muzium ini bukan hanya sekadar memperlihatkan lukisan 3D tetapi juga punya daya tarikan tersendiri.

Meneroka muzium yang masih baru ini, di tingkat bawah anda akan dibawa menghayati sejarah dan kebudayaan masyarakat Pulau Pinang.

Antara yang pasti menarik perhatian pengunjung di tingkat bawah ini ialah suasana kampung yang cukup mendamaikan. Lukisan di dinding muzium dan dilengkapi pokok kelapa serta kanak-kanak bermain guli membawa pengunjung mengimbau kembali kenangan silam di kampung.

Selain itu, sampan yang disediakan di hadapan lukisan Jeti Clan cukup mencuit hati. Beberapa kenderaan terawal yang digunakan di Pulau Pinang seperti beca, kereta lembu, trem dan 'trolley bus' cukup mengujakan.

Terdapat juga lukisan menarik yang menggambarkan tarikan pelancongan yang terdapat di pulau mutiara ini antaranya Taman Botani, Penang Hill, Butterfly Farm dan Taman Burung.

Sesuatu yang mengujakan di bahagian bawah Trick Art Muzeum ini adalah tikar terbang dan gambar P Ramlee. Menerusi tikar terbang ini, pengunjung boleh duduk di belakang 'P Ramlee' dan terbang bersamanya di udara.

Jika di bahagian bawah lebih kepada kebudayaan dan sejarah, berlainan pula konsep yang diketengahkan di tingkat atas muzium iaitu lebih kepada pengembaraan.

Sebaik tiba di tingkat atas, laluan karpet merah dengan gambar jurukamera dan wartawan bagaikan pengunjung seorang artis ternama.

Lukisan yang diadaptasi daripada filem terkemuka seperti Lost World, Giant Paim, Journey to the West dan Genie serta filem Et yang dilengkapi dengan basikal cukup mencuit hati.

Peluang bergambar bersama dua ekor panda dan orang utan juga cukup menceriakan.

Meneruskan penjelajahan, lukisan Anubis Attrack, Avalanche, Snow Ball, Wrecked Bridge dan Sky Diving bagaikan benar dan nyata.

Menariknya di muzium ini, untuk mendapatkan gambar yang cantik dan nampak hidup, tersedia lokasi yang sesuai yang disiapkan dengan label 'ambil gambar di sini' menambahkan keunikan muzium yang cukup mengujakan ini.

Untuk merasai keseronokan penjelajahan di muzium ini, jangan lepaskan peluang mengunjungi muzium yang terletak di King Street, Georgetown, Pulau Pinang.

Tiket untuk dewasa RM15, kanak-kanak dan pelajar RM10 manakala warga emas berusia 60 tahun ke atas RM10.

Time Tunnel Museum

Terletak di Jalan Green Hall, Time Tunnel Museum bagaikan membawa pengunjung kembali ke zaman bermulanya sejarah Pulau Pinang hingga kini.

Selepas membeli tiket yang berharga RM14 untuk dewasa, RM7 untuk kanak-kanak dan RM10 untuk pelajar, pengunjung bagaikan memasuki satu terowong masa yang penuh dengan pelbagai pameran.

Memulakan penerokaan di bahagian bawah muzium, pengunjung akan dipaparkan sejarah Pulau Pinang yang bermula dari tahun 1592 hinggalah ke zaman sekarang.

Menariknya, selain nota mengenai sejarah yang digantung di dinding terowong, barangan lama dan patung yang dibuat khas untuk menceritakan sejarah yang berlaku cukup mengujakan.

Lampu di sepanjang terowong malam juga persis membawa pengunjung kembali ke terowong masa yang cukup bermakna dan penuh sejarah silam.

Terdapat juga pelbagai barangan antik seperti mesin taip, seterika antik, kipas meja dan banyak lagi yang mampu mengundang nostalgia.

Di bahagian atas muzium pula sedikit berlainan dengan yang dipaparkan di bahagian bawah kerana ia adalah berbentuk lukisan, mural dan antigraviti.

My Natural Crystal Gallery

Berlainan dengan dua muzium dikunjungi sebelumnya, My Natural Crystal Gallery ini adalah lokasi yang cukup mengagumkan.

Bagi penggemar barangan kristal, galeri ini adalah lokasi yang harus dikunjungi.

Terletak di tingkat tiga pusat beli-belah Penang Time Square, anda pastinya teruja melihat apa yang dipamerkan di sini.

Sesuai dengan namanya iaitu My Natural Crystal Gallery, semua kristal yang dipamerkan iaitu lebih 1,000 jenis adalah semula jadi.

Kristal ini terletak di dalam batu dan diambil dari dalam gua. Hampir 98 peratus kristal yang dipamerkan adalah yang diperoleh dari Gunung Kerian, Kedah.

Melihat kepada jenis dan bentuk kristal dipamerkan, pengunjung pastinya seperti tidak percaya dengan apa yang dilihat.

Menariknya, kristal dipamerkan ini juga masih hidup dan masih boleh membesar. Justeru, di dalam setiap kotak pameran kristal diletakkan air kosong bagi memastikan ia tetap lembap dan boleh membesar lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 5:04 AM