Berlakon dalam siri El Chivo yang diadaptasi daripada novel membuatkan Diana Hoyos, 30, teruja kerana kali pertama merasai pengalaman menjadikan buku sebagai rujukan karakternya.

Kalau selama ini dia mencorakkan wataknya dengan menonton filem lakonan orang lain, kali ini agak berbeza baginya. Malah Diana turut membaca komen peminat novel El Chivo bagi memahami karakternya.

Diana akui novel yang berjaya di pasaran selalunya menjadi pilihan untuk diadaptasi sama ada dijadikan siri mahupun filem.

Katanya, dia menyahut cabaran ini kerana jalan cerita yang ceria dengan sedikit elemen muzik.

“Ini kali pertama saya berlakon dalam karya seperti ini. Sebagai pelakon, kita harus mencuba sesuatu yang baru dan berani mencabar kemampuan diri.

“Selain jalan cerita menarik, saya juga ingin buktikan mampu melakonkan karakter berbeza,” katanya.

Untuk persiapan telenovela ini, Diana terlebih dulu membaca dan memahami karakter Angela Duran. Dia juga meminta beberapa orang rakan membaca novel dan minta mereka jelaskan kepadanya karakter Angela berdasarkan pengamatan mereka.

“Saya tahu novel ini cukup terkenal dan mempunyai peminat tetapi saya tidak pernah berpeluang membacanya.

Bagaimanapun apabila membaca El Chivo, barulah saya tahu keunikan ceritanya hingga berjaya menambat hati penggemar novel.

“Berlakon telenovela berdasarkan novel memang memberi tekanan besar buat saya. Sebelum ini saya ha­nya mendengar cerita rakan artis yang pernah berlakon dalam karya adaptasi, tapi kini saya sendiri merasa keadaan itu,” katanya.

Mengakui agak tertekan menjayakan El Chivo, Diana berkata kalau sebelum ini apabila diberi watak rujukan pertama adalah skrip.

“Daripada skrip itulah kita dapat menilai karakter yang akan dilakonkan. Kemudian bagaimana untuk mewarnakan watak itu bergantung kepada pelakon itu sendiri.

“Sebelum ini saya selalu menonton cerita yang mempunyai karakter serupa agar dapat memberi idea untuk mengembangkan watak yang saya lakonkan. Tapi kali ini novel menjadi rujukan utama dan saya tidak boleh sesuka hati melakonkan watak itu.

“Saya ada meminta pendapat daripada penggemar novel itu. Walaupun hanya interaksi menerusi laman sosial tetapi mereka banyak membantu. Saya tertekan kerana bimbang tidak dapat memenuhi kehendak peminat,” katanya.

Diana juga bersedia jika peminat akan membandingkan watak Angela Duran dijayakan dengan apa yang digambarkan penulis dalam novelnya.

Katanya, sukar untuk memuaskan hati semua pihak tetapi dia berusaha membawa watak itu sebaik mungkin. Dia juga mengharapkan peminat memahami perbezaan antara telenovela dan novel.

“Hak mencorakkan watak itu adalah milik saya kerana pengarah memberi kami kebebasan untuk membawakan watak berkenaan mengikut apa yang kami rasa.

“Bagaimanapun ada ketikanya pengarah inginkan sesuatu yang berbeza. Kadangkala permintaannya itu juga akan menyebabkan karakter berbeza daripada yang ada pada novel.

“Kami akan berbincang dan saya perlu mengikut apa yang diinginkan pengarah kerana dia yang duduk di belakang skrin sepanjang masa. Dia lebih tahu buruk baik setiap cara kami mengembangkan watak itu.

“Saya harap peminat dapat memahami keadaan ini. Oleh kerana telenovela ini turut ditayangkan di Amerika Syarikat maka ada beberapa jalan cerita yang diubah sedikit. Saya harap penggemar novel itu menonton cerita ini sebelum memberikan komen,” katanya.

Bekerjasama dengan Julio Bracho dan Eileen Moreno, Diana akui senang dengan sikap pelakon senior itu yang sentiasa mengambil berat. Berlakon sebagai anak mereka, hubungan Diana dengan dua pelakon itu menjadi rapat.

Katanya, di luar lokasi penggambaran mereka tidak ubah seperti ibu bapanya yang sebenar. Mereka penuh dengan sifat melindungi dan sering menghubunginya walaupun penggambaran sudah tamat.

“Mereka menjadi ibu bapa saya dalam cerita itu dan karakter itu terbawa-bawa hingga di luar lokasi penggambaran. Ketika semua kru penggambaran dan pelakon makan bersama, Eileen akan memastikan saya akan turut serta.

“Sehingga kini, Julio dan Eileen akan selalu menghubungi saya bertanya khabar. Apabila ada gosip berkaitan saya tersebar, mereka antara orang paling awal bertanyakan hal itu. Saya umpama mempunyai dua ibu dan bapa,” katanya.

Mengenai nyanyian, Diana kini sedang mencari material untuk lagu barunya. Dia bakal muncul dengan single pada awal tahun hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2015 @ 5:02 AM