PENGANJUR mempamerkan logo kejohanan.
PENGANJUR mempamerkan logo kejohanan.

Kuala Lumpur: Kejohanan Persekutuan Taekwando Antarabangsa Chan Hun (CHITF) Asia Pasifik buat kali pertama akan diadakan di negara ini dengan jangkaan 40 negara bakal mengambil bahagian sekali gus meletakkan Malaysia di peta dunia sebagai hab sukan antarabangsa.

Penganjur kejohanan Venture Capital Management & Services (VCMS) menerusi kenyataannya berkata, CHITF sebuah organisasi yang menyatukan semua pengamal seni mempertahankan diri taekwando.

Mereka juga menjadi organisasi yang berjaya menggabungkan Persekutuan Taekwondo Antarabangsa (ITF) dan Persekutuan Taekwondo Dunia (WTF), seterusnya membawa seni mempertahankan diri itu ke Sukan Olimpik pada tahun 2000.

“CHITF memberi amanah kepada VCMS untuk menjadi penganjur kejohanan untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Kejohanan ini berlainan daripada pertandingan sebelumnya kerana ia pertandingan CHITF yang pertama di Malaysia dan juga rantau Asia Pasifik,” katanya.

Menurutnya, kejohanan peringkat antarabangsa itu bakal meletakkan Malaysia di peta dunia sebagai hab sukan antarabangsa dan secara langsung mempromosi negara ini di mata dunia.

Kejohanan itu akan diadakan di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) MFI, Bangi, pada 6 dan 7 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 5:03 AM