PENERIMA pada Majlis Anugerah Asnaf Cemerlang 2015 bersama Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Bakhtiar Hussin (belakang sembilan dari kiri) dan Pegawai Eksekutif LZS Hussin Mohd Ali (belakang enam dari kiri), di Shah Alam, baru-baru ini.

Pemberian zakat dan pencarian asnaf bermula sejak zaman Rasulullah SAW. Namun, Lembaga Zakat Sela­ngor (LZS) mengguna pakai kaedah yang disarankan Saidina Umar Al-Khattab kerana beliau individu yang memartabatkan zakat dengan mewujudkan institusi Baitulmal pada zamannya.

Khalifah Umar mengunakan pendekatan mencari asnaf, bukannya menunggu kedatangan mereka. Justeru, ada beberapa kaedah dijalankan LZS untuk mencari mendapatkan calon asnaf yang memerlukan bantuan, antaranya melalui kakita­ngannya sendiri.

Kakitangan LZS bertanggungjawab menyalurkan maklumat asnaf kepada pegawai penyiasat Eksekutif Zakat Agihan Daerah (EZAD) yang akan membanci dan menyiasat latar belakang individu terbabit. Jika disahkan benar, barulah bantuan diberikan.

Kaedah kedua, kira-kira 1,200 penolong amil kariah di Selangor turut membantu mengenal pasti individu atau keluarga susah melalui jawatankuasa surau atau masjid kawasan masing-masing.

Kaedah ketiga pula melalui khidmat masyarakat. Masyarakat turut mempunyai peranan dengan menyebarkan maklumat melalui media sosial.

Selain itu, portal www.zakatselangor.com.my membolehkan orang ramai melayari aplikasi ‘Lapor Asnaf’ bagi menyalurkan maklumat individu atau keluarga susah yang memerlukan bantuan kepada LZS.

Pada masa sama, LZS meneruskan program pencarian fakir dan miskin dikenali sebagai Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) yang diperkenalkan pada tahun 2011.

Sebanyak 33 siri SJK dilaksanakan di seluruh Selangor sepanjang tahun 2014. Melalui SJK 2014, seramai 830 keluarga didaftarkan sebagai asnaf fakir dan miskin.

Tahun lalu, seramai 221 penerima bantuan zakat keluar dari kategori asnaf. Mereka terdiri daripada penerima bantuan modal perniagaan yang disediakan LZS.

Sementara itu, 1,240 keluarga yang menjadi penerima zakat pada tahun lalu turut keluar daripada kategori asnaf hasil siasatan semasa yang dilaksanakan LZS menggunakan garis penentuan fakir dan miskin iaitu haddul kifayah.

Pengurus Besar Pejabat Agihan LZS Abdul Basith Hamid berkata, golongan asnaf bukan saja bermakna mereka yang tiada pekerjaan tetap dan tidak mampu memenuhi keperluan keluarga, malah individu yang terpaksa berhutang kerana perlu menjalani pembedahan juga dikategorikan sebagai asnaf. Hutang menyebabkan individu itu tidak mampu menanggung keperluan hidup, sekaligus membebankannya.

“Ramai anggota masyarakat bandar turut berada dalam kategori asnaf, namun kebanyakan mereka malu meminta tolong kepada jiran yang juga hidup susah.

“Justeru, ramai antara mereka datang ke kaunter pungutan zakat untuk me­ngadu masalah, kesusahan yang sedang dialami dan penyelesaian bantuan,” katanya.

Abdul Basith berkata, bantuan untuk asnaf diberi mengikut empat kategori awal meliputi asnaf fakir, asnaf miskin, asnaf amil dan asnaf mualaf.

Empat kategori akhir pula terdiri daripada asnaf riqab, asnaf gharimin, asnaf fisabilillah dan asnaf ibnu sabil.

“Untuk empat kategori awal, bantuan diberikan dari segi fizikal hingga rohani iaitu bantuan asasi berupa penginapan, makanan, pendidikan, perubatan dan penjagaan.

“Bantuan penjagaan lebih berkait kepada warga emas yang memerlukan perhatian sedangkan anak-anak perlu memenuhi rutin bekerja. LZS mencarikan pusat jagaan bersesuaian untuk menjaga mereka. Kes ini hampir sama dengan anak kecil yang tidak terjaga disebabkan ibu bapa perlu bekerja.

“Bagi bantuan penginapan pula, sekiranya asnaf tinggal di rumah sewa LZS akan bayarkan dan jika ada rumah sendiri LZS akan bantu membaiki kediaman itu.

“Pernah berlaku seorang hamba Allah yang berharta meninggal dunia dengan meninggalkan anak yang belum mampu menguruskan adik-beradik lain de­ngan sebuah rumah. LZS membantu adik-beradik ini menerusi bantuan pendidikan dan sara hidup kepada penjaga sehingga mereka mampu berdikari.

“Bantuan makanan akan dihantar terus ke rumah asnaf bagi memastikan ia dimanfaatkan sebaik mung­kin. Makanan ini meliputi barang asas seperti beras dan minyak masak termasuk barangan basah. Dari segi kewangan, LZS menyediakan wang agar asnaf dapat membeli susu bayi atau wang itu digunakan untuk membiayai perbelanjaan harian,” katanya.

LZS tidak pernah gagal menyediakan bantuan pendidikan kepada anak asnaf yang masih bersekolah atau di pusat pengajian tinggi. Banyak wang dikeluarkan agar kanak-kanak berkenaan mampu mengubah keluarga, seterusnya keluar daripada kepompong kemiskinan.

Ia meliputi agihan barangan sekolah, bayaran yuran sekolah rendah dan menengah, tambang bas, bantuan kaca mata, yuran setiap semester di universiti dan institusi pengajian tinggi, komputer riba dan wang saku setiap bulan.

“Cabaran LZS ialah perlu meyakinkan ibu bapa

agar membenarkan anak mereka menyambung pelajaran selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kerana

kebanyakan ibu bapa beranggapan tidak mampu menyara mereka sambung belajar sedangkan si anak ada potensi dalam bidang tertentu, sekali gus berpeluang mengubah taraf hidup keluarga.

“Lambakan pemegang SPM, STPM dan diploma dan faktor persaingan dalam sektor pekerjaan menuntut anak asnaf lebih berdikari dengan melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat ijazah atau sarjana.

“Jika anak asnaf tiada minat belajar, mereka ada pilihan menimba latihan teknikal jangka pendek di institusi yang menyediakan kemahiran dan menjamin kerjaya dalam industri popular selaras keperluan masa kini.

“Mereka yang sudah mendapat latihan membaiki motosikal atau kenderaan berpeluang membuka bengkel bermula secara kecil-kecilan dengan modal disediakan LZS.

“LZS bekerjasama dengan semua Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) atau Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) yang menawarkan kursus dan yuran berpatutan.

“Program sehari bersama ILKA dan ILKS mampu membuka minda anak asnaf yang tidak melanjut­kan pelajaran untuk melihat kesesuaian dalam bidang diminati.

“Mereka perlu mendaftar sekurang-kurangnya satu kursus dan pada hari sama ILKA dan ILKS akan memberi surat tawaran jika memenuhi syarat selain mendapat bantuan LZS sepanjang pengajian,” kata­nya.

Anak asnaf lepasan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pula ada peluang cerah melalui kerjasama LZS dan MARA bagi membolehkan mereka melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara (MARA) dengan kelulusan minimum.

“LZS tidak akan membiarkan anak asnaf terbiar kerana kita akan bantu mereka,” katanya.

Basith berkata, asnaf yang sudah terkeluar daripada senarai dialu-alukan menjadi pembayar zakat bagi membantu rakan asnaf lain yang masih memerlukan bantuan.

Tiada paksaan mengenai jumlah bayaran asalkan ia memenuhi syarat wajib zakat dan mengikut sistem pengiraan yang betul.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2015 @ 3:02 AM