PEGAWAI Eksekutif Khidmat Pelanggan LZS Muhd Helmi Damanhuri (kiri) memenuhi tanggungjawab LZS melalui pemberian zakat kepada asnaf, Mohd Saidan Asmawi.

Sewaktu ke Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Shah Alam, Selangor deretan kerusi di luar bangunan itu dipenuhi orang ramai dan ketika melangkah masuk ke bahagian berkenaan, ia dipenuhi pelbagai lapisan masyarakat yang datang untuk mengadu masalah masing-masing.

Kaunter Ekspres terbuka kepada semua terutama yang beragama Islam. Mereka datang kerana mahu memohon bantuan LZS bagi mengurangkan beban kewangan yang ditanggung.

Sebahagian asnaf yang sudah berdaftar dengan LZS turut datang mengadu masalah tidak cukup bantuan yang diterima secara bulanan.

Justeru, pegawai LZS akan memberikan sedikit wang untuk dibuat tambang atau membeli makanan, seterusnya melakukan siasatan dan kajian terhadap perbelanjaan rutin bulanan asnaf terbabit.

Jika yang datang ke Kaunter Ekspres bukan asnaf berdaftar, dia dibahagikan kepada dua kategori iaitu pertama, memerlukan sedikit bantuan wang hanya untuk bulan itu saja.

Individu ini ada gaji tetap dan memperoleh wang hasil kerja lebih masa, tetapi pada bulan tertentu tidak mencukupi yang mungkin disebabkan membaiki kenderaan sehingga tidak cukup wang untuk membeli barangan bayi seperti susu dan lampin.

Kedua, individu itu sebenarnya layak menerima bantuan tetap daripada LZS, tetapi tidak tahu mengenai­nya.

Asnaf tidak berdaftar ini beranggapan tidak layak mendapat bantuan zakat, tetapi disebabkan desakan hidup, mereka datang ke LZS untuk mendapatkan bantuan hanya sekali, tetapi selepas disiasat, dia boleh dibantu secara berkala atau didaftarkan sebagai asnaf.

Kaunter Ekspres turut dikunjungi asnaf ibnu sabil atau musafir yang terputus bantuan. Dengan mengemukakan bantuan pada LZS, asnaf ini dapat meneruskan perjalanan pulang ke tempat kelahirannya.

“Kaunter ini memiliki pelbagai keperluan dan diang­gap antara platform besar kepada LZS untuk mencari dan membantu asnaf rakyat Selangor atau pemastautin tetap lebih daripada tiga tahun di negeri ini.

“Bagi mereka yang tinggal di luar Selangor, keutamaan diberikan kepada golongan ibnu sabil seperti penduduk dari Sabah dan Sarawak yang memerlukan bantuan pulang ke kampung.

“Bantuan tidak diberikan kepada bukan warga negara, pendatang asing dan pemegang permit Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR).

“LZS membantu agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menguruskan mereka secara berkumpulan melalui sumbangan makanan dan dana tahunan,” kata Pengurus Besar Pejabat Agihan LZS Abdul Basith Hamid.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2015 @ 3:01 AM