BANTUAN helikopter turut digunakan bagi mengesan tiga lagi mangsa. FOTO ihsan Bomba
Oleh Mohd Rizal Abdullah
mohd.rizal@hmetro.com.my


Miri: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dalam tragedi bot karam di Belaga diperluaskan sehingga ke kawasan Punan, kira-kira satu jam perjalanan menggunakan bot dari lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Di Hata Gobel berkata, 65 orang daripada pelbagai agensi dan sukarelawan terbabit dalam operasi hari kedua itu.

Menurutnya, helikopter MI 171 turut digunakan bagi mengesan tiga lagi mangsa iaitu Sumitasen Thomas, 15; Ardiana Rosnah, 12; dan Nur Amirsha, 4.

Setakat ini, hanya seorang mangsa yang ditemui iaitu Sahirza Mahir, 31, pada 10 pagi semalam.

Semalam, bot yang dinaiki sembilan penumpang karam di Sungai Rajang akibat ombak kuat.

Lima mangsa menyelamatkan diri, seorang mangsa ditemui di tebing sungai, manakala tiga lain masih hilang.

Difahamkan, kebanyakan penumpang berkenaan dalam perjalanan pulang ke rumah panjang di Long Pawah dari pekan Belaga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2015 @ 12:22 PM