PERSEMBAHAN khas daripada masyarakat Orang Asli menyambut kedatangan rombongan.
ORANG Asli Kampung Aman Damai hidup dengan cara tersendiri.
RUMAH bot dua tingkat yang menjadi tempat penginapan rombongan sepanjang program.
PEMANDANGAN hijau sekitar Royal Belum yang mendamaikan.
Oleh Mohd Hilmi Mahmud
rencana@hmetro.com.my


Jemputan Tourism Malaysia Pulau Pinang dan Tourism Malaysia Perak untuk melawat hutan simpan tertua di dunia iaitu Taman Negeri Royal Belum yang berusia lebih 130 juta tahun menjadi satu memori amat istimewa buat penulis.

Penulis bersama wakil media lain dari Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Tourism Pulau Pinang, Tourism Perak, pengusaha chalet, agensi pelancongan, pengembara beg galas dan penulis blog dikumpul bersama di taman negeri berkenaan.

Ia bagi melihat kecantikan dan keunikan taman negara itu dalam program FAM TRIP Royal Belum Cuti-Cuti 1Malaysia (CC1M) Dekat Je, baru-baru ini.

Atur cara dan aktiviti program sepanjang tiga hari dua malam itu sungguh menarik dan membuatkan penulis berasa amat teruja serta seronok sebaik menjejak kaki di jeti di Tasik Temenggor sebelum bertolak ke hutan Royal Belum menggunakan rumah bot dua tingkat.

Perjalanan dari jeti ke Kem Sungai Tiang mengambil masa hampir 30 minit dan apabila tiba kami diberikan masa satu jam bagi membuat persiapan sebelum bertolak ke lokasi pertama iaitu Sungai Ruok.

Bagi melawat lokasi pertama, kami dibawa menaiki bot kecil yang hanya memuatkan 10 penumpang setiap bot.

Perjalanan ke Sungai Ruok mengambil masa 20 minit dan apabila tiba kami berpeluang mandi di air terjun itu sambil memberi ikan makan.

Air terjun berkenaan dijadikan kawasan pelindungan ikan kelah, tengas dan temoleh yang dijaga rapi Jabatan Perhutanan Negeri Perak.

Selepas penat mandi di air terjun itu, sekitar jam 6 petang kami dibawa pulang ke rumah bot di Sungai Tiang untuk berehat dan makan malam.

Pada malam pertama, kami diberi peluang untuk memancing ikan di atas rumah bot berkenaan hingga Subuh.

Hari kedua, kami berpeluang bersarapan di atas rumah bot berkenaan sambil menikmati pemandangan cantik dan mendamaikan dengan air tasik kebiru-biruan.

Kelihatan bukit di sekeliling tasik nyata menyejukkan pemandangan sesiapa saja yang berada di atas rumah bot berkenaan.

Selepas sarapan, kami dibawa ke perkampungan Orang Asli di Kampung Aman Damai di kawasan Tasik Temenggor.

Ketibaan kami ke perkampungan berkenaan disambut dengan penuh meriah oleh masyarakat Orang Asli terbabit dengan dimulakan acara tarian diikuti nyanyian.

Di perkampungan Orang Asli berkenaan, penulis diberi peluang untuk beramah mesra dengan penduduk dan merasa masakan penduduk yang menggunakan buluh sebagai alat memasak.

Selepas beramah mesra dengan penduduk, kami dibawa ke Resort Rainforest Belum untuk bermalam sebelum pulang ke rumah masing-masing.

Ia ternyata perjalanan amat menarik dan tidak dapat dilupakan penulis dan jika diberi peluang kedua untuk melawat Royal Belum, penulis pasti akan melawat dengan keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2015 @ 12:05 PM