LAMAN najibrazak.com
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak mengajak umat Islam menghayati perpaduan dan menterjemahkannya dalam bentuk kesatuan kasih sayang serta tindakan praktikal bersempena sambutan Maulidur Rasul 1437 Hijrah esok.

Perdana Menteri berkata, sambutan kali ini diharap terus menyemarakkan perpaduan ummah, mengeratkan silaturrahim antara kaum keluarga, kejiranan, negara serta ke peringkat antarabangsa.

“Sesungguhnya, jasa dan pengorbanan Rasulullah SAW begitu besar kepada kita umat Islam.

“Baginda bersama sahabat menanggung pelbagai kesusahan dan penderitaan dalam memartabatkan syiar dan syariat Islam serta membina ummah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena sambutan kelahiran Nabi Muhammad SAW yang dimuat naik di blog peribadinya, NajibRazak.com pagi ini.

Najib berkata, ummah bukanlah nama bagi satu kaum yang bermastautin di satu-satu tempat, bahkan merujuk kepada berjuta insan daripada kaum yang pelbagai, tinggal di kawasan yang berlainan.

“Apabila mereka hidup harmoni dan bersatu-padu, maka jadilah mereka sebagai satu ummah. Perasaan keumatan inilah asas sejati perpaduan, silaturahim dan ukhuwah Islamiah.

“Manakala perpaduan pula adalah teras kekuatan dan kemuliaan umat ini.

“Justeru, amatlah penting kita hayati perpaduan ini dan terjemahkan ia dalam bentuk kesatuan kasih sayang dan tindakan praktikal bermula dengan unit asas seperti keluarga,” katanya.

Menurut beliau, umat Islam yakin bahawa di dalam sunnah Rasulullah SAW ada petunjuk Rabbani yang membawa kemuliaan.

Malah katanya, membina perpaduan adalah antara sunnah terpenting yang diwariskan baginda rasul kepada semua.

“Atas asas ini, kita sentiasa istiqamah dan berusaha untuk memakmurkan negara tercinta ini.

“Transformasi menuju negara Islam yang maju dan berpendapatan tinggi dengan wasatiyyah bersendikan Maqaasid Syariah sebagai prinsip pentadbirannya, serta Ahlu Sunnah wal Jamaah sebagai pegangannya akan terus menjadi keutamaan kita.

“Semoga dengan barakah Maulidur Rasul dan komitmen perpaduan kita, Allah akan menjadikan Malaysia, sebuah negara yang menepati ciri-ciri seperti yang difirmankan Allah SWT dalam surah Saba’ ayat 15 yang bermaksud, negeri yang baik (aman dan makmur) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan Yang Maha Pengampun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2015 @ 1:04 PM