KUMPULAN pejuang yang setia kepada Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi mengawal jalan raya di bandar Aden, semalam.

Aden: Serangan udara dan pertempuran terbaru berlaku di Yaman semalam walaupun lanjutan gencatan senjata sepatutnya berkuat kuasa, kata sumber tentera.

Menteri Luar Yaman, Abdulmalek al-Mikhlafi kelmarin berkata, Presiden Abedrabbo Mansour Hadi memutuskan untuk melanjutkan gencatan senjata kepada tujuh hari lagi dalam usaha menyelesaikan konflik berkenaan.

Gencatan senjata selama tujuh hari sebelum ini dicabuli hampir setiap hari sejak ia bermula 15 Disember lalu, sempena rundingan damai yang berlangsung di Switzerland.

Dalam pertumpahan darah terbaru, sekurang-kurangnya 13 pemberontak Houthi terbunuh dalam serangan udara di wilayah Daleh malam semalam.

Kumpulan pemberontak dilaporkan melancarkan serangan meriam di satu kawasan berhampiran bandar Taez, lokasi pejuang prokerajaan berlindung sejak beberapa bulan lalu.

Pertempuran turut tercetus di beberapa lokasi di Semenanjung Arab termasuk wilayah Hajja dan Jawf, kubu kuat Houthi dan juga Shabwa di tengah Yaman.

Sumber tentera berkata, jet tentera pakatan Arab melancarkan lapan serangan pada awal pagi semalam terhadap kedudukan pemberontak di Rahida dan Shuraija, di sempadan wilayah Taez dan Lahj.

“Ramai yang mati dan cedera,” kata sumber itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2015 @ 11:11 AM