PLATINI
AFP

Zurich: Pemimpin ternama bola sepak mengecam Sepp Blatter dan Michel Platini selepas mereka dihukum gantung lapan tahun daripada sukan itu kelmarin.

Presiden FIFA Blatter dan Presiden UEFA Platini digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selepas tribunal jawatankuasa etika badan induk itu mendapati mereka menyalahgunakan kedudukan mengenai dakwaan bayaran bernilai AS$2 juta (RM8.6 juta).

Ketua FA Belanda (KNVB) Michael van Praag, yang juga naib presiden UEFA, mengakui hukuman terhadap Platini menjejaskan badan induk bola sepak Eropah itu.

“Ia satu skandal besar dalam bola sepak secara am dan bagi pemimpinnya secara khusus,” ujar Van Praag dalam satu kenyataan disiarkan dalam laman web KNVB.

“Ia satu situasi terburuk dari segi aktiviti dan persepsi terhadap FIFA secara khusus, begitu juga UEFA kerana pembabitan Platini secara peribadi,” katanya.

Van Praag, yang menjadi calon menentang Blatter pada pemilihan presiden FIFA Mei lalu sebelum menarik diri, menjelaskan hukuman itu menjadi bukti FIFA perlu dibersihkan dengan segera.

Kedua-dua Blatter dan Platini menjelaskan mereka akan merayu hukuman itu namun pengerusi Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris Greg Dyke menganggap reaksi Blatter terhadap penggantungannya “amat menyedihkan.”

“Beliau tidak dapat menjarakkan dirinya daripada FIFA. Beliau fikir beliau tetap sama dan ia menyedihkan. Saya tidak fikir beliau akan pulih daripada episod ini,” jelas Dyke.

Dyke sebelum ini menyokong Platini menggantikan Blatter sebagai pemimpin badan induk bola sepak dunia itu pada pemilihan Februari ini dan mengakui “kecewa” dengan perkembangan semasa.

“Kami membuat keputusan awal menyokong Platini. Kami fikir beliau melakukan tugas amat bagus bersama UEFA dan kami amat kecewa apabila semua ini terbongkar. Kami tidak tahu.

“Saya menganggap beliau akan sedar... selain merayu, tapi saya fikir ini penamat buatnya dan Blatter.”

Bekas Presiden UEFA Lennart Johansson menganggap hukuman itu “mencukupi” dan berkata, penggantungan lapan tahun itu secara efektif dilihat sebagai penggantungan seumur hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2015 @ 10:52 AM