Goel bersama produk KitKat.
Oleh Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Nestle Products Sdn Bhd (Nestle) optimis meningkatkan penguasaan dalam pasaran produk coklat utamanya iaitu KitKat pada tahun depan meskipun berdepan persekitaran global yang tidak menentu pada masa kini.

Pengarah Eksekutif Konfeksionerinya, Sachin Goel berkata, situasi itu dilihat tidak menghalang syarikat mencapai hasrat berkenaan memandangkan ia adalah produk coklat utama di negara ini dengan penguasaan 23 peratus.

“Produk KitKat mula mendapat sambutan positif dan semakin berkembang sejak 2010 serta terus menjadi popular kepada mereka yang ingin menikmati keseimbangan antara coklat dan wafel selain sesuai untuk masa santai,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan fokus kepada pengukuhan produk KitKat Coklat dan dua produk baru iaitu KitKat Teh Hijau dan KitKat Rubies pada tahun depan bagi memastikan pertumbuhan mantap jenama itu di pasaran tempatan.

KitKat Teh Hijau menerima sambutan baik di pasaran sejak diperkenalkan Julai lalu dan mencatatkan penguasaan pasaran 4.7 peratus dalam dua bulan, sekali gus melebihi jangkaan syarikat.

“Apa yang paling penting, produk ini dihasilkan di kilang kami di Negeri Sembilan dan dijamin halal berikutan sudah menerima pengiktirafan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) bagi memenuhi keperluan pengguna di negara ini,” katanya.

Pada masa sama, syarikat merancang meluaskan pasaran KitKat Teh Hijau di Thailand, Vietnam, Indonesia dan Filipina pada tahun depan.

Sementara itu, Nestle turut memperkenalkan satu lagi produk konfeksionerinya iaitu KitKat Rubies iaitu produk coklat premium yang disasarkan untuk hadiah dan pertama seumpamanya di dunia.

Sachin berkata, produk itu mula diperkenalkan pada Januari lalu bersempena Tahun Baru Cina dan menerima sambutan baik dalam kalangan pengguna tempatan dan turut dieksport ke Afrika, Timur Tengah dan Brazil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2015 @ 6:35 AM