JAMAL

Nilai: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) cawangan Putrajaya melancarkan program Online Best dalam usaha menyediakan ekosistem perniagaan yang komprehensif dan lengkap kepada usahawan Bumiputera bagi melahirkan lebih ramai usahawan generasi baru mulai tahun depan.

Setiausaha Kehormatnya. Datuk Jamal Mohd Amin berkata, Online Best dikendalikan dengan kerjasama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), menjadi sebahagian usaha menuju negara maju serta berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Katanya, program terbuka kepada semua usahawan Bumiputera sama ada belum atau sudah memulakan perniagaan dengan membuka peluang kepada mereka membangunkan bidang perniagaan secara atas talian sekali gus mengembangkan pasaran di dalam mahupun di luar negara.

“Melalui program ini, usahawan berpeluang meningkatkan jaringan, membangunkan persekitaran perniagaan yang baik serta mendapat akses pasaran produk mereka lebih kompetitif.

“Kita (DPMM Putrajaya) akan menyediakan khidmat nasihat serta bantuan kepada usahawan menerusi program ini seperti mendapatkan kos sewaan kedai lebih rendah, belian stok, bantuan modal, latihan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, pelancaran Online Best dilakukan Naib Yang Dipertua DPMM Putrajaya, Datuk Md Pishal Ab Raub di sebuah pusat beli-belah di Shah Alam Selangor, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2015 @ 6:32 AM