Mah bertanya sesuatu kepada ahli keluarga mangsa nahas bas Chiang Mai. FOTO Mior Azlan
Fardy Bungga dan Mazizul Dani
am@hmetro.com.my


Subang Jaya: Seorang daripada mangsa yang cedera dalam nahas bas di Chiang Mai, Thailand Ahad lalu adalah Naib Pengerusi GERAKAN Bahagian Sri Gading Tan Yong Soon, 64, yang turut kehilangan empat ahli keluarganya dalam kejadian itu.

Beliau masih dirawat di Hospital Miharaj, Chiang Mai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mah Siew Keong berkata, beliau mewakili kerajaan dan rakyat negara ini bersedih dan simpati dengan kejadian tragis yang mengorbankan 13 rakyat Malaysia.

Katanya, kerajaan sedia memberi bantuan kepada ahli keluarga dan mangsa yang terselamat termasuk bantuan kaunseling, kewangan dan proses penghantaran pulang ke Batu Pahat.

"Hari ini hanya seorang daripada mangsa cedera dibawa balik bersama 12 mangsa nahas yang terselamat tanpa kecederaan. Selebihnya adalah ahli keluarga yang diterbangkan ke Chiang Mai sebelum ini untuk proses pengecaman mayat

"Lapan lagi mangsa yang cedera termasuk Tan dan lima yang kritikal masih berada di Hospital Maharaj Nakorn Chiang Mai,"katanya.

Menurutnya, mereka belum dibenarkan pulang atas nasihat pasukan perubatan Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2015 @ 4:59 AM