MANGSA meninggal dunia di tempat kejadian. FOTO Ab Hatim Manan
Oleh Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my


Melaka: Seorang penunggang maut dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Jalan Gagah, Sungai Udang, Melaka Tengah, 11.30 malam tadi.

Ketika kejadian mangsa Hamidy Abu Hassan, 54, menunggang motosikal Honda EX5 dikatakan dalam perjalanan dari Simpang Taman Terendak Permai menuju ke Kem Terendak.

Jurucakap polis berkata, akibat kemalangan itu mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dan kepala.

"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa berlanggar dengan motosikal yang datang dari arah Kem Terendak menghala ke Kem Sungai Udang.

"Mangsa yang maut dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat manakala penunggang motosikal Yamaha Lagenda hanya mengalami kecederaan ringan," katanya.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2015 @ 7:21 PM